Kanak-kanak jadi makmum atau imam

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Mendidik kanak-kanak dalam melakukan ibadat sembahyang adalah wajib.

Kewajipan mendidik kanak-kanak melakukan ibadat sembahyang ketika mereka mencapai umur tujuh tahun dan dibolehkan memukul dengan pukulan yang tidak mencederakan jika enggan mengerjakan sembahyang apabila mencapai umur 10 tahun disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam yang maksudnya:

“Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka berumur 10 tahun.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Rahsia mendidik kanak-kanak mengerjakan sembahyang di peringkat awal ini adalah supaya mereka mengetahui hukum-hukum ibadat dan terbiasa melaksana dan mendirikannya sejak dari awal lagi.

Walaupun pada dasarnya kanak-kanak yang belum baligh sama ada lelaki ataupun perempuan tidak diwajibkan untuk menunaikan sembahyang sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam yang diriwayatkan oleh ‘Ali r.a. yang maksudnya:

“Diangkat Qalam (dilepaskan tanggungjawab perintah Allah) daripada tiga golongan; orang yang sedang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh dan orang gila sehingga dia berakal (sedar).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sembahyang kanak-kanak yang sudah mumaiyiz adalah sah kerana kanak-kanak itu dikira sudah berakal dan berkelayakkan melakukan sembahyang.

Didikan awal sebegini amat penting kerana ia akan membiasakan anak-anak melakukan sembahyang sama ada secara bersendirian atau berjemaah. Bahkan boleh menjadi imam terutama anak lelaki kerana mereka ini bakal menjadi ketua keluarga di kemudian hari.

Melakukan sembahyang berjemaah lebih besar fadhilat atau ganjarannya daripada sembahyang berseorangan sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sembahyang berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang seorang diri dengan 27 darjat.” (Hadis riwayat Muslim)

Mumaiyiz dan belum mumaiyiz

Pertumbuhan diri kanak-kanak akan mengalami dua peringkat iaitu belum mumaiyiz dan mumaiyiz. Kedua-dua peringkat ini akan membezakan keahlian atau tanggungjawab kanak-kanak dalam menunaikan perlaksanaan agama.

1. Peringkat belum mumaiyiz

Peringkat ini bermula dari sejak kecil sehinggalah kanak-kanak itu mampu membezakan antara yang bermanfaat dan yang mudarat bagi dirinya.

Anak kecil yang belum sampai peringkat mumaiyiz ini belum dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tuntutan agama seperti sembahyang dan puasa. Namun, bagi para ibu bapa atau penjaga adalah menjadi tanggungjawab berusaha menjinak-jinakkan mereka dengan hal-hal agama sebagai langkah melatih mereka sebelum mereka mumaiyiz.

2. Peringkat mumaiyiz

Peringkat ini bermula apabila kanak-kanak itu sudah mampu membezakan di antara yang baik dengan sesuatu yang buruk. Dalam ertikata lain kanak-kanak mumaiyiz itu baginya akal, yang mana dengannya dia mampu secara sederhana membezakan mana yang bermanfaat dan yang mudarat.

Tidak ada had umur yang tertentu sebagai sukat-sukat dalam menentukan permulaan kanak-kanak mencapai tahap mumaiyiz kerana pertumbuhan kejiwaan kanak-kanak itu tidak sama antara satu dengan yang lain walaupun pada kebiasaannya masa mumaiyiz itu bermula pada umur tujuh tahun.

Para ulama Usul al-Fiqh membahagikan orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum (ahliyyah al-ada’) itu kepada dua: Orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum tetapi masih kurang (ahliyyah al-ada’ an-naqishah).

Orang yang berkemampuan untuk melaksanakan hukum secara sempurna (ahliyyah al-ada’ al-kamilah).

Hukum kanak-kanak menjadi imam

Kanak-kanak yang belum mumaiyiz sama sekali belum mempunyai ahliyyah al-ada’ sehingga segala tindakannya belum diperhitung secara hukum. Manakala kanak-kanak yang sudah mumaiyiz tergolong dalam ahliyyah al-ada’ an-naqishah kerana mereka sudah berakal yang menyebabkan mereka termasuk dalam orang yang mampu melaksanakan hukum-hukum syar‘i walaupun tidak secara sempurna.

Maka kanak-kanak yang mumaiyiz itu adalah sah menjadi imam dalam sembahyang tetapi hukumnya adalah makruh berimamkan kanak-kanak yang mumaiyiz sama ada dalam sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: “Sesungguhnya ‘Amr Ibn Salimah pernah menjadi imam kepada kaumnya dalam sembahyang pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam semasa beliau berumur enam atau tujuh tahun.”

Berimamkan orang baligh lebih baik daripada kanak-kanak yang mumaiyiz walaupun kanak-kanak yang mumaiyiz itu lebih pandai membaca dan lebih tahu ilmu fiqh.

Isu kanak-kanak dalam sembahyang berjemaah dan menjadi imam

Hukum menjadi makmum kepada imam kanak-kanak yang masih kulup (belum berkhatan).

Antara persoalan mengenai kanak-kanak menjadi imam yang membimbangkan sebahagian orang dewasa ialah tentang kesuciannya. Ini adalah kerana kanak-kanak yang belum berkhatan dianggap menanggung najis.

Menjadi makmum atau berniat makmum kepada imam yang diragui tentang kebersihannya daripada najis seperti masih kulup adalah sah, tetapi makruh. Dalam perkara ini Imam al-Malibari Rahimahullah berkata dalam kitab Fath al-Mu‘in bahawa makruh berimam kepada orang yang masih kulup.

Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah menjelaskan perkataan Imam al-Malibari Rahimahullah di atas dalam kitab I‘anat ath-Thalibin dengan berkata: “Yakni makruh mengikut (berimam) kepada orang yang kulup iaitu yang tidak berkhatan sama ada sebelum baligh atau selepasnya, kerana boleh jadi dia tidak memelihara apa yang menjadi syarat sah sembahyangnya, apalagi syarat sahnya menjadi imam, iaitu membersihkan (membasuh) kulupnya yang terkena air kencingnya, kerana apabila ia (kulup itu) wajib dibersihkan atau wajib dibuang, maka apa yang dibawahnya dikira sebagai anggota zahir.”

Tetapi mengikut Imam as-Subki Rahimahullah dan pengikutnya jika tidak ada imam yang lain, maka tidaklah makruh, bahkan lebih afdal berimam kepadanya berbanding jika sembahyang bersendirian.

Maka adalah boleh berniat menjadi makmum kepada kanak-kanak yang layak dan sah melakukan sembahyang, tetapi masih berkulup yang boleh jadi telah membersihkan kulupnya atau belum. Namun jika pasti dan diyakini kulupnya atau mana-mana anggotanya tidak bersih daripada bekas air kencingnya atau najis lain, maka tidak boleh berimam dengannya kerana sembahyangnya tidak sah dengan sebab dia bernajis.

Adakah luput fadhilat sembahyang jemaah jika ada kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak berada dalam saf jemaah lelaki dewasa dan adakah boleh kanak-kanak ini dikeluarkan dari saf mereka itu?

Dalam kitab Bughyah al-Musytarsyidin al-Imam as-Sayyid ‘Abdullah bin ‘Umar Bin Abu Bakar Bin Yahya Rahimahullah ada berkata bahawa:

“Jika ada di dalam saf sesiapa yang tiada sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan Fatihahnya) atau ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian, maka tiadalah luput fadhilat (tidak hilang kelebihan pahala) berjemaah ke atas orang-orang yang berdiri di belakang mereka, sekalipun lebih jauh saf mereka dari saf orang yang sah sembahyangnya, sekadar boleh muat seorang berdiri pada masalah yang pertama (iaitu ada najis padanya atau ada lahn) dan lebih jauh dari tiga hasta pada masalah yang kedua (iaitu ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian), kecuali jika orang-orang yang berada pada saf-saf di belakang itu mengetahui akan batal sembahyang orang yang tersebut itu dan sembahyangnya itu tidak sah pada pendapat ulama yang sah bertaklid padanya dan mereka berkuasa mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka itu dari saf-saf mereka dengan tiada takut (apa-apa kemudharatan) ke atas diri atau harta atau nama (apabila mereka mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka dari saf-saf itu).

Kerana fadhilat pahala berjemaah boleh diperolehi dengan mengikut seorang imam yang makmum tidak mengetahui imam itu berhadas (padahal dia berhadas), maka lebih utama tidak mengetahui akan batal sembahyang orang-orang yang dia tidak ada sangkut paut di antaranya dan di antara orang yang batal sembahyangnya itu, dan kerana berjauh-jauh (dari satu saf kepada satu saf) dengan ada suatu keuzuran seperti panas (seperti di Masjid al-Haram ada saf jauh-jauh dan putus kerana panas terik matahari pada tempat-tempat lapang), tidak meluputkan fadhilat berjemaah. Maka begitu juga di sini (makmum yang batal sembahyangnya berada dalam saf-saf sembahyang) dan kerana dia berhak di tempat itu dengan sebab dia telah datang dahulu serta taklidnya yang mengatakan sah sembahyang dan begitu juga jika dia tidak bertaklid (kepada mana-mana ulama) di atas asas orang awam itu tiada mempunyai mazhab.”

Maka jika didapati kanak-kanak yang dibawa oleh bapanya duduk dalam mana-mana saf sembahyang dan tidak diketahui kanak-kanak itu sudah berkhatan atau tidak, dan tidak diketahui dia telah membersihkan qulfahnya (kulupnya), maka menurut pendapat atau fatwa al-‘Allamah as-Sayyid ‘Abdullah bin Yahya yang di atas ini tiadalah perkara itu meluputkan fadhilah sembahyang berjemaah dan adalah sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam saf itu.

Mengenai perkara tidak boleh mengeluarkan kanak-kanak dari saf orang-orang dewasa ini juga telah disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar Rahimahullah dalam kumpulan fatwanya: “Qaul yang muktamad kanak-kanak laki-laki itu bila mereka mendahului orang-orang baligh dalam saf yang pertama, maka tiadalah harus (tiada boleh) orang-orang baligh itu mengeluarkan kanak-kanak laki-laki itu dari saf yang pertama, bersalahan dengan orang-orang khuntsa (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan perempuan-perempuan hendaklah dikeluarkan mereka dari saf yang pertama sebagaimana saya (al-Imam Ibn Hajar) telah jazamkan dengan yang demikian itu dalam kitab saya Syarhu al-Irsyad ibadatnya.”

Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah difahami sembahyang kanak-kanak yang sudah mumaiyiz adalah sah kerana kanak-kanak itu dikira sudah berakal dan berkelayakkan melakukan sembahyang. Sama ada sembahyang itu dilakukan secara bersendirian, menjadi makmum atau menjadi imam walaupun kanak-kanak itu masih belum berkhatan asalkan mereka dalam keadaan suci.