BEIRUT, 10 NOV – Jumlah kanak-kanak kebuluran di timur laut Syria, kawasan yang dibelenggu konflik lebih daripada satu dekad, telah meningkat sebanyak 150 peratus, kata kumpulan bantuan Selamatkan Kanak-Kanak hari ini.
”Setiap hari, kami terpaksa berdepan lebih ramai kanak-kanak kelaparan berbanding sebelumnya,” kata agensi bantuan itu, dalam rayuan terdesak kepada penderma.
”Isu malnutrisi mengancam nyawa kanak-kanak. Kemiskinan dan ketidakmampuan membeli makanan merupakan sebab utama keluarga menderita.”
Bermula April hingga September, agensi bantuan mencatat lebih daripada 10,000 kanak-kanak kebuluran, berbanding 6,650 dalam tempoh enam bulan sebelumnya.
Selain konflik, Syria juga dibelenggu krisis ekonomi paling teruk sejak perang meletus pada 2011 apabila kerajaan menindas bantahan prodemokrasi, menyaksikan setengah juta orang terbunuh.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 90 peratus daripada 18 juta penduduk di Syria hidup dalam kemiskinan, dengan ekonomi terjejas akibat konflik, kemarau dan pandemik COVID selain kesan daripada krisis kewangan di negara jiran Lubnan.
”Sementara pendapatan keluarga biasa belum meningkat, harga makanan telah melambung naik sebanyak hampir 800 peratus di antara 2019 dan 2021, dan terus naik pada 2022,” tambah badan kebajikan itu.
”Kenaikan harga mendadak ini memaksa jumlah penduduk kelaparan meningkat.”
Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada populasi kini mengalami bekalan makanan tidak terjamin, dan situasi semakin buruk setiap hari. – AFP