Kanak-kanak lelaki cedera diserang ‘dingo’

SYDNEY, 21 Jan – Seorang budak lelaki telah tercedera selepas digigit oleh seekor anjing liar ‘dingo’ di pulau percutian yang terkenal di timur Australia, dengan bapa budak itu berkata anjing liar itu ‘mahukan darah’.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu yang kini berada dalam keadaan stabil diserang sekumpulan haiwan berkenaan ketika berada di pulau yang tersenarai dalam Pulau Warisan Dunia, Pulau Fraser di pinggir Queensland.

“Keluarga terbabit baru selesai berenang apabila mangsa memutuskan untuk berlumba ke arah gumuk pasir. Malangnya apabila tiba di atas, terdapat empat ekor ‘dingo’ di kawasan itu,” kata jurucakap pasukan penyelamat RACQ LightFlight, Dan Leggat dalam satu kenyataan.

“Seekor daripada haiwan berkenaan menyerang serta menggigit kaki mangsa,” katanya lagi.

Budak malang itu yang dikenali sebagai Michael Schipanski diberi rawatan awal oleh paramedik sebelum diterbangkan ke hospital berhampiran.

Menurut bapa mangsa, Mark Schipanski, Michael berlari ke gumuk pasir itu bersama ibunya apabila terserempak sekumpulan ‘dingo’. Anjing liar itu terus mengejarnya.

“Saya terdengar jeritan kesakitan dan apabila menoleh, saya melihat dia diseret haiwan berkenaan,” jelasnya. – AFP