Kanak-kanak lemas jatuh dalam laut

LABUAN, 8 NOV – Seorang kanak-kanak perempuan berumur 21 bulan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam laut dari rumah perkampungan atas air di Sebor, Saguking, di sini, pada Rabu.

Mayat Nor Saidah Abdul Said ditemui terapung di dalam air di bawah rumah oleh ibu bapanya kira-kira 11 malam ketika mereka mencarinya yang hilang dari bilik tidur rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata ketika kejadian, ibu bapa kanak-kanak itu berada di ruang tamu manakala anak mereka berada di bilik tidur bersendirian.

“Kanak-kanak itu dipercayai terjatuh melalui dinding papan lapis yang tidak kukuh di bilik tidur berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. – Bernama