Thursday, October 6, 2022
24.9 C
Brunei

Kanak-kanak lima tahun maut disengat tebuan

-

KUALA NERUS, 27 JUN – Kegembiraan tiga beradik bermain di padang permainan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut disengat tebuan, di Kampung Tok Jembal, kira-kira 5:40 petang semalam.

Mangsa, Eidrish Mohd Khalid, 5, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 11:20 malam tadi selepas terkena 60 sengatan di seluruh bahagian badan.

Bapa mangsa, Mohd Khalil Omar, 40, berkata ketika kejadian, dia bersama isteri Norliza Shaparuddin, 36, dan tiga orang anaknya sedang bercuti di kampung dan merancang untuk bertolak pulang ke Ipoh kira-kira 6 petang.

Bagaimanapun, ketika bersiap-siap untuk pulang, dia didatangi anak sulungnya Nur Adelya Qaisara, 10, memaklumkan adiknya diserang tebuan yang keluar dari sarang di bawah rangka pelantar jeti terapung terbiar di kawasan berkenaan.

“Sebaik mendengar jeritan Adelya, saya terus berlari ke tempat kejadian dan melihat Eidrish sudah terbaring di tanah dengan tebuan penuh satu badan.

“Ketika saya mendukungnya naik ke rumah, (Eidrish) masih bernyawa, tetapi sangat lemah dan kaku tidak menjerit atau menangis,” katanya ketika ditemui.

Selain Eidrish, Mohd Khalid berkata dia serta dua anaknya, turut terkena sengatan.

“Adelya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ kerana terkena dua sengatan manakala Aiyris pula menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Saya pula sepatutnya dirawat di wad kerana terkena hampir 20 sengatan, tetapi terpaksa pulang untuk menguruskan pengebumian Eidrish kira-kira 10 pagi tadi,” katanya.

Mohd Khalid reda dengan pemergian anak ketiganya itu, tetapi kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang membiarkan rangka pelantar jeti tersebut di kawasan padang permainan tanpa penyelenggaraan. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hasrat rai majlis kahwin tak kesampaian

NEW DELHI, 5 OKT - Hasrat 25 individu yang ingin meraikan majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila mereka maut selepas bas yang dinaiki terbabas sebelum...
- Advertisment -