LONDON, 16 MEI – Seorang kanak-kanak maut dan empat orang dewasa cedera awal hari ini selepas dua buah rumah roboh dalam letupan gas di barat daya England, kata polis.
Polis di daerah Lancashire berkata mereka dipanggil ke deretan rumah teres pada pukul 2:40 pagi di mana mereka memindahkan penghuni lain dan mendirikan kepungan keselamatan.
“Kami berada di tapak letupan di Mallowdale Ave Heysham yang menyebabkan dua buah rumah roboh dan memusnahkan sebuah rumah lain,” kata polis Lancashire di Twitter.
“Dengan perasaan sedih, kami boleh mengesahkan bahawa seorang kanak-kanak telah terkorban dan empat yang lain cedera, dua dalam keadaan serius. Doa kami untuk mereka yang terjejas.”
Jabatan bomba Lancashire berkata di Twitter satu insiden besar telah diisytiharkan mengenai letupan gas dan anggota bomba sedang dalam proses mencari rumah yang roboh berkenaan.
Penduduk tempatan Dan Knowles berkata bunyi letupan dapat kedengaran dari rumahnya yang terletak empat blok dari tempat kejadian. “Isteri saya dan saya sangka berlakunya gempa bumi yang mengejutkan kami, seluruh rumah bergegar,” katanya. – AFP
