SEKUMPULAN kanak-kanak Nigeria telah mentransformasikan diri mereka kepada selebriti, terima kasih kepada satu tayangan video yang tersebar luas sehingga berjaya menarik selebriti dan model terkenal, Rihanna dan Naomi Campbell.
Kumpulan digelar ‘Dream Catchers’ dan telah menyiarkan video mereka baru-baru ini yang memaparkan satu tarian gabungan seperti boneka di depan sebuah bas berwarna merah di kawasan pelupusan sampah.
Sebelum ini enam budak lelaki dan enam perempuan berumur antara enam hingga 16 tahun itu, tidak mempunyai idea tentang corak tarian mereka.
Kini, mereka telah bergiat aktif menari dalam satu tayangan video penyanyi terkenal Nigeria, Amada’s Hommage sehinggalah Super Eagles, yang mana telah ikut serta dalam temasya Piala Dunia di Rusia.
“Apa yang kita lakukan pada tahun ini adalah besar. Kami telah mampu bergerak sejauh yang mungkin,” kata Seyi Oluyole, yang berusia 26 tahun dan merupakan guru serta tutor kumpulan tersebut.


Pada awal bulan Mac lalu, penyanyi terkenal Nigeria itu telah menyiarkan satu tayangan video baharu tentang kumpulan itu dalam media sosial, diiringi dengan rentak dan gerak muzik Afrobeat dari popstar Wizkid.
Penyanyi terkenal, Rihanna, kemudian penerbit Amerika Syarikat, P.Diddy, berkongsi tayangan video klip dalam platform media sosial mereka dan telah ditonton sebanyak 2.8 juta kali.
Bberapa minggu selepas itu, Naomi Campbell ke Lagos, untuk acara tahunan pertunjukan fesyen pada bulan April, telah mengunjungi kumpulan kanak-kanak itu di Ikorodu, iaitu sebuah kawasan perkampungan miskin di luar bandar.
Dengan tujuan mempromosikan mereka kepada umum, remaja ini memeluk Naomi dengan jurugambar media tidak henti-henti mengetik kamera untuk merakamkan detik tersebut.
Peluang kedua
Kumpulan Dream Catchers itu semakin terkenal dan sering muncul di mana-mana persembahan hiburan dan bekerjasama dengan penghibur atau semasa menerima hadiah.
Gabenor Lagos, Akinwunmi Ambode, telah menjemput sebilangan mereka untuk beraksi semasa Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 27 Mei yang lalu.
Oluyole telah mengasaskan gerakan kumpulan itu semenjak empat tahun yang lalu dan berusaha untuk membantu kanak-kanak lereng kedai di Lagos untuk mencapai impian yang lebih baik demi masa depan mereka yang lebih cerah dan mencari jalan untuk kembali ke sekolah.
Ketika itu, dia telah mengetuai satu kumpulan tarian dari gerejanya dan setiap kali hari Ahad, dia perasan terdapat sekelompok kanak-kanak miskin dari kawasan berhampiran menari dan bergembira serta cuba menghilangkan keresahan mereka kerana lapar dan bosan.
“Sebelum ini, mereka sering datang ke gereja dalam jumlah yang ramai dan menari,” jelasnya lagi.
“Untuk jangka waktu yang tertentu, saya menyedari, kebanyakan mereka tidak bersekolah dan tidak fasih berbahasa Inggeris,” tambah Oluyole kepada media.
Menurut, Tabung Darurat Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNICEF), Nigeria dianggarkan mempunyai sekitar 10.5 juta kanak-kanak yang tidak bersekolah, jumlah tertinggi di dunia.
Bapa Oluyole, 12, telah kehilangan pekerjaan di sebuah bank dan keseluruhan keluarganya terpaksa tidur di kawasan lereng kedai selama dua tahun.


“Sekurang-kurangnya, saya bertuah kerana dapat bersekolah kerana ia merupakan satu aspek yang penting buat sesetengah ibu bapa. Tetapi saya melihat kesan yang teruk berpunca daripada isu kemiskinan,” tambah Oluyole.
Dia sekarang mempunyai sebuah rumah dan dihuni oleh banyak kanak-kanak.
Di dinding rumah itu tergantung beberapa buah gambar sumber inspirasi yang datang dari pelbagai latar belakang seperti Nelson Mandela, Oprah Winfrey atau Serena Williams.
Manakala satu moto inspirasi turut dilekatkan untuk membangkitkan semangat kanak-kanak ini yang berbunyi, ‘Every day is a second chance (Setiap hari adalah peluang kedua)’.
Membaca, menulis dan menari
Oluyole sentiasa mengarahkan para ibu bapa untuk sentiasa bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Oluyole turut bertanggungjawab membayar yuran sekolah mereka, antara 100,000 naira (AS$280) dengan sumber pendapatan yang diraih dari tayangan televisyen dan bantuan daripada para penaja.
Kumpulan tarian itu melakukan latihan pada waktu malam tetapi jika mereka tidak cemerlang di sekolah, kanak-kanak ini tidak akan dibenarkan menari selama beberapa hari, yang bagi mereka merupakan satu denda yang paling teruk.
Busola, yang berusia 13 tahun, mempunyai mata yang besar dan gaya rambut seperti seorang lelaki, nama samaran ‘T-Boy’ menghabiskan masa separuh hidupnya dengan mengemis wang dan makanan di sekitar jalan raya Lagos bersama dengan adik lelakinya.
Kini, dia bercita-cita ingin menjadi seorang penari, artis dan pereka fesyen.
“Sebelum ini saya akan bercakap dalam bahasa Yoruba dan kanak-kanak lain akan ketawa,” tambah Dami yang berusia 10 tahun, tinggal di kawasan setinggan bersama ibunya di sebuah rumah yang usang dalam beberapa tahun.
“Sekarang, saya boleh pergi ke sekolah, membaca dan menulis. Keseluruhan hidup saya telah berubah,” tambah Dami.
Oluyole berkata bahawa kumpulan ini belum lagi meraih sebarang pendapatan tetap walaupun sudah terkenal, kecuali mendapat sumbangan makanan dan pakaian.
“Orang ramai akan mempelawa dan menjemput kami untuk beraksi tetapi kebanyakan orang ramai hanya mengambil manfaat daripada usaha kanak-kanak ini, untuk terkenal, mereka tidak membayar kami,” kata Oluyole lagi.
Oluyole mahu mencapai impiannya untuk membuka sekolah tarian sendiri nanti di Lagos. – AFP

































