Kanak-kanak New Zealand mula kembali bersekolah

WELLINGTON, 18 MEI – Beratus-ratus ribu kanak-kanak New Zealand kembali ke sekolah hari ini selepas dua bulan menjalani pembelajaran di rumah disebabkan sekatan pergerakan (lockdown) akibat COVID-19.

Kanak-kanak kelihatan teruja menyapa rakan sekelas masing-masing buat pertama kali dalam masa lapan minggu, sementara guru-guru memperkukuhkan mesej tentang penjarakan sosial dan mencuci tangan untuk mencegah koronavirus.

Menteri Pendidikan, Chris Hipkins berkata kembali ke persekitaran bising, sibuk akan menjadi satu ‘kejutan budaya’ selepas tempoh mencabar bagi ibu bapa dan anak-anak.

“Mesej kami adalah ia selamat untuk menghantar anak ke sekolah, kami mahu kanak-kanak belajar semula di sekolah dan mengikuti mana-mana pembelajaran yang mereka telah ketinggalan semasa lockdown,” ujarnya kepada para wartawan.

New Zealand, dengan penduduk sekitar lima juta, telah mencatatkan 1,149 kes koronavirus dan hanya 21 kematian, dengan kejayaan sebahagian besarnya adalah disebabkan lockdown ketat yang dikenakan pada lewat Mac.

Kebanyakan sekatan pergerakan domestik berakhir Khamis lalu namun sekolah-sekolah diberi masa tambahan atas kesukaran untuk mengimplementasikan protokol kesihatan dalam kalangan kanak-kanak. – AFP

Kanak-kanak sekolah ketika berjalan menuju ke sekolah selepas kerajaan membenarkan sekolah dibuka di bawah garis pandu tahap 2 di Wellington pada 18 Mei. – AFP