Kanak-kanak tidak bervaksin masih belum dibenar di premis

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Mereka yang tidak bervaksin mahupun kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 adalah dibenarkan untuk melakukan riadah di luar, tetapi masih tidak dibenarkan memasuki premis seperti hotel-hotel.

Walau bagaimanapun, mereka tidak digalakkan untuk berkerumun atau berkumpul dengan saudara-mara atau orang lain dan jika boleh hanya bersama keluarga sendiri sahaja.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato juga menasihati agar mereka yang tidak memiliki vaksin yang lengkap atau belum menerima vaksin tersebut supaya mengelakkan tempat yang sesak di samping sentiasa menggunakan pelitup muka, menjaga kebersihan dan jika rasa demam tidak digalakkan keluar rumah.