Kanak-kanak tidak divaksin dihalang staycation

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Apabila bermulanya Fasa Peralihan, sesiapa yang sudah menerima suntikan vaksinasi sepenuhnya adalah dibenarkan untuk memasuki premis-premis tertentu seperti salah satunya apabila berhasrat untuk mengadakan staycation di hotel-hotel, namun bagi yang belum menerima suntikan sepenuhnya adalah tidak dibenarkan.

Sehubung dengan itu, tegahan memasuki premis-premis semasa fasa berkenaan juga termasuk golongan kanak-kanak yang belum bervaksin. Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab persoalan situasi apabila terdapat golongan keluarga yang ingin mengadakan staycation dan mempunyai anak-anak yang masih kecil dan belum menerima suntikan vaksin.

Tambahnya lagi, tujuan perlaksanaan perkara berkenaan merupakan salah satu keperluan kerajaan untuk melihat persekitaran masyarakat yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya bagi keperluan pemantauan dan juga penelitian data-data demi menuju ke fasa seterusnya iaitu Fasa Endemik.

“Rebutlah peluang ini untuk mengembalikan situasi negara kita untuk menjadi lebih baik seperti sedia kala. Terlalu banyak usaha dan objektif kerajaan yang ingin kita capai lagi,” tambah Yang Berhormat Dato.