KYIV, UKRAINE, 1 SEPT – Kanak-kanak di Ukraine kembali ke sekolah hari ini ketika tahun akademik kedua bermula semasa serangan oleh Rusia ke negara pro Barat itu.
Hampir empat juta pelajar kembali belajar, sama ada secara maya atau di dalam bilik darjah, kata Kementerian Pendidikan Ukraine.
Bandar dan pekan di seluruh Ukraine sering menjadi sasaran serangan artileri, dron serta peluru berpandu dan ribuan sekolah telah rosak atau musnah, menurut pihak berkuasa.
“Negara ini mengekalkan peluang untuk kanak-kanak pergi ke sekolah Ukraine,” kata Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak di media sosial. “Guru-guru Ukraine adalah wira sebenar.”
Lebih daripada 3.6 juta kanak-kanak belajar di sekolah Ukraine, termasuk hampir 900,000 yang belajar secara dalam talian, kata Yermak.
“Perkara utama ialah anak-anak kita akan belajar,” kata Jeneral Valery Zaluzhny, Ketua Tentera Ukraine.
“Pendidik, guru dan pensyarah kita akan mengajar. Kerana ilmu dan budaya itulah yang membezakan kita dengan musuh.” Andriy Sadovy, Datuk Bandar barat Lviv, berkata murid akan belajar cara-cara menerbangkan dron sambil mengeluarkan gambar pelajar di belakang komputer.
“Inilah realiti kami yang baharu,” katanya di media sosial. Kyiv melancarkan serangan balas pada Jun tetapi mengakui pertempuran yang sukar ketika ia bergelut untuk menembusi kedudukan Rusia yang amat kukuh. – AFP
