Kane akui kecewa gagal pindah ke City

LONDON, 1 SEPT – Penyerang Tottenham, Harry Kane menegaskan ‘hatinya sudah jelas’ selepas perpindahannya ke Manchester City gagal.

Kane kembali menjalani sesi latihan pra-musim ketika dia berusaha meyakinkan pengerusi Tottenham, Daniel Levy untuk membenarkan dia menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kapten England itu percaya wujudnya perjanjian peribadi antaranya dengan Levy yang membolehkannya dijual sekiranya Tottenham gagal memenangi trofi atau terlepas peluang menempatkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu.

Kane bertambah kecewa bersama Tottenham apabila kelab itu gagal menamatkan kemarau 13 tahun tanpa trofi dan secara terbuka menyatakan keinginannya untuk meninggalkan kelab utara London itu sebelum Euro 2020.

Bagaimanapun City enggan memenuhi tuntutan Levy berjumlah £150 juta (AS$206 juta) untuk Kane dan minggu lalu penyerang berusia 28 tahun itu memuat naik di Twitter bahawa dia akan terus kekal di Tottenham musim panas ini.

Peminat Tottenham melaungkan ‘Adakah anda menyaksikan Harry Kane’ ketika mereka mengalahkan City pada perlawanan pembukaan musim EPL tanpa penyerang itu.

Tetapi Kane telah mendapat sambutan hangat oleh penyokong sejak menunjukkan komitmen untuk kekal di Spurs.

Ditanya sama ada dia bimbang reputasinya tercalar, Kane berkata: “Tidak. Saya rasa tidak sama sekali. Setiap orang yang terbabit dalam industri bola sepak tahu selok-beloknya dan saya tiada masalah dengan situasi itu.” – AFP

Harry Kane semasa selepas perlawanan EPL antara Tottenham Hotspur dan Watford di Stadium Tottenham Hotspur pada 29 Ogos lalu. – AP