Kane bantu Spurs raih mata penuh

NEWCASTLE, UNITED KINGDOM, 18 OKT – Newcastle memulakan era di bawah pemilik baharu yang dipimpin oleh konsortium Arab Saudi dengan kekecewaan selepas Tottenham berjaya mencatat kemenangan di St James’ Park 3-2 kelmarin.

Kekalahan tersebut menjadikan Newcastle masih berada di zon penyingkiran dan masih mengejar kemenangan di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.

Jangkaan tinggi di Tyneside untuk suntikan dana yang besar oleh Saudi Public Investment Fund (PIF) untuk mengubah nasib Newcastle di atas padang.

Gabenor PIF, Yassir Al-Rumayyan disambut sebagai wira oleh 55,000 penyokong ketika dia dipersembahkan sebelum perlawanan dimulakan.

Suasana gembira digandingkan dengan permulaan yang sempurna ketika Callum Wilson menjaringkan gol pertama dalam minit kedua berikutan susulan daripada hantaran lintang Javier Manquillo.

Reaksi pemain tengah Newcastle, Callum Wilson dan Jamaal Lascelles ketika tewas dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur di England. – AP

Namun, Tanguy Ndombele berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-17 hasil daripada hantaran lintang Sergio Reguilon yang berjaya membangkitkan semangat Tottenham.

Kane kemudian mengakhiri penantiannya untuk menjaringkan gol EPL musim ini dengan percubaan menewaskan Karl Darlow.

Kapten England pada mulanya didakwa ofsaid, tetapi selepas tinjauan daripada VAR membuktikan Kane berada di posisi onsaid.

“Saya tahu ada banyak perbincangan di sekitar saya dan saya tahu itu selalu berlaku ketika awda terbiasa menjaringkan gol dan kadang-kadang keadaan tidak menyebelahi awda,” kata Kane.

Perlawanan kemudian dihentikan selama 20 minit atas sebab kecemasan perubatan bagi peminat Newcastle.

“Kami inginkan perkara yang terbaik kepada peminat tersebut, ia bukan satu pemandangan yang bagus,” tambah Kane. “Kami dengar dia mungkin stabil sekarang, jadi kami berterima kasih kepada pasukan perubatan dan peminat yang melakukan CPR.”

Rentak permainan kekal sama ketika disambung semula selama tujuh minit waktu berhenti separuh masa pertama.

Kemudian Kane membuat hantaran rendah kepada Son yang menjaringkan gol ketiga untuk Spurs.

Spurs kini melonjak ke tangga kelima dan berkongsi mata dengan Brighton berada di tangga keempat. – AFP