Kane kekal bersama Spurs

LONDON, 25 OGOS – Harry Kane mengumumkan hari ini bahawa dia akan kekal bersama Tottenham Hotspur pada musim ini, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan Manchester City dilaporkan berminat untuk mendapatkan ketua pasukan kebangsaan England tersebut.

Kane menyatakan dengan jelas keinginannya untuk berpindah daripada kelab yang diwakilinya sejak remaja bagi menamatkan penantian mengejar trofi pertama dalam kariernya.

Walau bagaimanapun, penyerang berusia 28 tahun itu diberikan sokongan hangat oleh peminat Tottenham ketika dia membuat penampilan pertama pada musim ini sebagai pemain gantian semasa kemenangan 1-0 ke atas Wolves pada hujung minggu lalu.

“Ia adalah sambutan yang luar biasa daripada peminat Spurs pada Ahad lalu dan membaca beberapa pesanan berupa sokongan yang saya terima dalam beberapa minggu kebelakangan,” tulisnya dalam Twitter.

“Saya akan kekal di Tottenham pada musim panas ini dan akan memberikan tumpuan 100 peratus membantu pasukan mengecap kejayaan.”

Kane merupakan penjaring kedua terbanyak Tottenham dalam sejarah dengan 221 gol, ketinggalan hanya 45 gol di belakang Jimmy Graves. Namun begitu, rekod prolifiknya gagal membantu kelab utara London itu untuk meraih trofi pertama dalam tempoh 13 tahun.

Kane masih mempunyai baki kontrak selama tiga tahun selepas menandatangani perjanjian selama enam tahun pada 2018. Ini membuatkan pengerusi Spurs, Daniel Levy meminta yuran perpindahan melebihi 100 juta pound, rekod yang dibayar oleh City untuk mendapatkan Jack Grealish dari Aston Villa pada awal bulan ini.

Levy berharap dengan mengekalkan khidmat Kane akan mampu membantu Tottenham kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan selepas terlepas peluang dalam masa dua tahun kebelakangan.

Spurs memulakan musim ini dengan baik di bawah tunjuk ajar pengurus baharu, Nuno Espirito Santo, dengan menewaskan City 1-0 tanpa pemain bintang tersebut semasa minggu pembukaan musim. – AFP

Gambar fail reaksi Harry Kane bertepuk tangan selepas tamat perlawanan sewaktu menentang Wolves pada Ahad lalu. Kane membuat keputusan untuk terus kekal bersama Spurs. – AP