Kane kembali buat Spurs

LONDON, 21 Feb – Harry Kane kembali menjalani sesi latihan lebih awal daripada yang dijadualkan ketika penyerang Tottenham Hotspurs itu menyasarkan untuk kembali beraksi menentang Burnley, Sabtu ini.

Kane telah direhatkan sejak mengalami kecederaan buku lali pada minit-minit akhir dalam kekalahan saingan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United pada 13 Januari lalu.

Sebelum ini kapten England itu tidak dijadualkan untuk kembali beraksi sehingga Mac ini.

Namun, selepas mengeluarkan gambar di media sosialnya di mana dia berlatih dengan rakan sepasukannya semalam, Kane kini dijangka untuk beraksi di Turf Moor minggu ini.

“Hebat untuk kembali dengan pasukan saya,” tulis Kane melalui Twitter miliknya.

Kane, yang telah meledak 20 jaringan dalam semua pertandingan musim ini, akan memberikan rangsangan utama kepada Tottenham ketika mereka memasuki peringkat penting dalam kempen ini.

Tottenham telah memenangi keempat-empat perlawanan liga tanpa kelibatnya dan berada di kedudukan terbaik untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas membelasah Borussia Dortmund 3-0 di Wembley pada 14 Februari lalu.

Pasukan kendalian Mauricio Pochettino itu juga mengejar Manchester City dan Liverpool dengan hanya lima mata dalam perlumbaan gelaran Liga Perdana Inggeris dan berdepan saingan tetangga London menentang Chelsea dan Arsenal dalam dua minggu akan datang.

Kane, penjaring terbanyak dan pemenang Anugerah Bot Emas pada Piala Dunia tahun lalu, telah menjaringkan tujuh kali dalam tujuh penampilan terakhir sebelum kecederaannya. – AFP

Gambar fail pada 19 November 2018 menunjukkan reaksi Kane selepas menjaringkan gol buat England ketika menentang Croatia di Wembley, London. – Xinhua