LONDON, 17 MEI – Harry Kane menjaringkan gol ke-22 di Liga Perdana Inggeris musim ini ketika Tottenham Hotspur menewaskan Wolves 2-0 kelmarin untuk meneruskan harapan mereka merebut kedudukan empat teratas.
Ketua pasukan England, Kane meletakkan Spurs di hadapan sebelum separuh masa pertama tamat dan Pierre-Emile Hojbjerg turut menggandakan kedudukan pada minit ke-62.
Kemenangan tersebut meletakkan Spurs berada di tangga keenam, lima mata mengejar Chelsea di tangga keempat, dengan maksimum enam mata untuk diraih dari baki dua perlawanan liga.
Kedudukan empat teratas di Liga Perdana Inggeris akan menjamin tempat di Liga Juara-Juara bagi musim 2021/2022.
Pasukan yang sudah dinobatkan sebagai juara liga, Manchester City dan Chelsea akan bertemu di perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Porto pada 29 Mei.
Tetapi jika The Blues – tewas dalam aksi final Piala FA di tangan Leicester – kekal berada di kedudukan empat teratas, tidak akan ada slot tambahan Liga Juara-Juara diberikan kepada pasukan di tempat kelima di Liga Perdana Inggeris.
Juara England musim lalu, Liverpool ketika ini berada di kedudukan kelima, kini satu mata di belakang Chelsea setelah menewaskan lawannya kelmarin. – AFP