EPISOD terbaharu program memasak Korea Selatan, Please Take Care of My Refrigerator menampilkan anggota kumpulan Wanna One, Kang Daniel (gambar) sebagai selebriti jemputan.
Dalam episod itu, Kang sempat berkongsi pengalamannya mengalami alahan teruk sehingga pitam dan dikejarkan ke hospital.
Menurut penyanyi berusia 21 tahun itu, dia alah terhadap makanan laut terutama spesies bercengkerang.
“Oleh sebab itu, saya tidak pernah memakan udang kara dan hidangan Ganjang Gejang. Saya diberitahu makanan itu sangat enak,” katanya.
Ganjang Gejang adalah hidangan masyarakat Korea yang dibuat daripada ketam dan kicap soya.
Ditanya pengalaman diserang alahan, Kang memberitahu, dia pernah dimasukkan ke hospital selepas makan burger udang.
“Saya teringin makan burger udang dari sebuah restoran makanan segera ini.
“Burger itu memang enak, namun tidak lama kemudian saya tiba-tiba rasa pening.
“Selepas itu, saya pengsan. Sebaik tersedar, saya sudah berada dalam wad kecemasan dan diberi alat bantuan pernafasan,” katanya. – Agensi