Kanggaru terlepas berjaya ditangkap

FORT LAUDERDALE, 17 JULAI – Pegawai polis berjaya menangkap seekor kanggaru yang melompat-lompat di kawasan Florida pada pagi semalam.

Selepas menerima panggilan mengenai seekor kanggaru yang terlepas, pegawai polis Fort Lauderdale berjaya menangkapnya dan menempatkannya dalam kereta skuad. Haiwan itu dibawa ke sebuah bangsal di mana agensi menyimpan kuda mereka.

Anthony Macias, tuan punya kanggaru didakwa memberitahu akhbar Sun Sentinel bahawa beliau berharap dapat membawa haiwan peliharaannya, Jack, pulang tetapi polis berkata haiwan itu tidak akan dikembalikan kerana Fort Lauderdale tidak mempunyai zon untuk kanggaru.

Macias berkata beliau berada di tempat kerja apabila mendapat tahu Jack terlepas dari rumahnya. – AP

Seekor kanggaru yang ditangkap oleh polis Fort Lauderdale melihat keluar dari sebuah kandang di ibu pejabat Polis di Fort Lauderdale pada 16 Julai 2020. – AP