Kangkung pantai mencantikkan kawasan

SPESIES tumbuhan dari genus Ipomea adalah tumbuhan liar daripada jenis menjalar yang berbunga cantik.

Bunganya berbentuk seperti loceng di mana ia juga terdapat lima kelopak yang berwarna putih kekuningan mirip dengan bunga pokok sayur kangkung.

Ipomea aquatic juga tergolong dalam keluarga tumbuhan Convolvulaceae dan bunganya jelas sangat digemari oleh serangga terutama lebah untuk menghisap madu bunga. Daunnya pula memiliki tekstur licin yang mirip dengan daun kangkung.

Pokoknya juga mempunyai batang kecil dan lembut. Oleh itu, ia hanya boleh tumbuh merayap dan biasanya dapat dilihat sering tumbuh di permukaan pasir di kawasan pantai.

Memang sesuai sekali dengan gelarannya kangkung pantai. Pokoknya sering dianggap sebagai tumbuhan yang kurang berguna kerana sering memenuhi ruang-ruang terbiar di tepi pantai.

Ipomea Aquatica banyak didapati di kawasan yang berdekatan dengan air seperti di tepi pantai.
Ipomea Aquatica banyak didapati di kawasan yang berdekatan dengan air seperti di tepi pantai.

Namun jika ditanam di kawasan lain, ia juga boleh menjadi tanaman hiasan penutup bumi yang menarik kerana penampilan bunganya yang cantik dan menarik apabila berkembangan.

Ia dikatakan sebagai tumbuhan asli bagi beberapa negara di Asia Tenggara seperti Republik Singapura, Indonesia dan Thailand.

Penanaman

Pada dasarnya, ia mudah untuk dibiakkan dengan menggunakan biji benihnya. Kulit buah yang masak akan terbuka dengan sendirinya lalu menaburkan biji benihnya ke bahagian tanah.

Jika keadaan di persekitarannya sesuai seperti kelembapan dan cahaya yang mencukupi biji-biji ini akan terus bercambah iaitu tumbuh secara semula jadi menjadi anak liar.

Anak-anak liar ini boleh digunakan untuk penanamannya dengan mencabut anak benih yang telah tumbuh sekurang-kurangnya telah mempunyai beberapa helai daun.

Tanam dalam medium kekalnya di tanah. Ia agak kurang sesuai untuk ditanam dalam bekas seperti pasu kerana ciri pertumbuhannya yang bebas menjalar secara meliar.

Kaedah lain dengan menggunakan keratan batang yang ditanam terus dalam medium tanaman yang memiliki campuran tanah gembur, kaya dengan bahan organik dan berpasir agar air senang untuk mengalir keluar bagi mengelakkannya bertakung.

Campuran medium tanaman untuk pokok berpasu adalah campuran 3:2:1 iaitu tanah gembur, bahan organik dan pasir sungai serta bahan pasirnya juga harus dilebihkan agar tumbuhan ini dapat tumbuh dengan subur.

Penjagaan

Siram dua kali sehari iaitu pada hari panas untuk mengekalkan medium tanamannya lembap sentiasa agar pokok dapat tumbuh membesar.

Ia juga perlu didedahkan kepada cahaya yang banyak untuknya berbunga lebih banyak dan cantik.

Kebanyakan jenis baja adalah sesuai untuk pokok ini terutama baja organik seperti najis ayam untuk pertumbuhan yang subur.

Apabila memindahkan anak semaian atau anak liar sebaiknya pastikan terdapat medium semaian pada akarnya supaya ia tidak layu dan dapat terus tumbuh subur membesar.

Pada dasarnya, Ipomea aquatic sangat cantik ditanam sebagai tanaman penutup bumi untuk menghiasi kawasan berpasir seperti tepi pantai, tasik dan sebagainya.