Kanser bukan penamat karier LCW

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Penyakit kanser dihidapi Datuk Lee Chong Wei bukan penghalang kepada jaguh badminton Malaysia itu untuk meneruskan impiannya beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Setelah hampir empat bulan berehat selepas dikesan menghidap barah hidung tahap satu pada Julai lepas, Chong Wei tampil membuat kenyataan bahawa beliau bersedia menggalas cabaran negara dalam misi meraih slot ke Sukan Olimpik, yang bermula tahun depan.

Pemain berusia 36 tahun itu yang kelihatan sihat dan ceria berkata beliau lega apabila disahkan bebas kanser oleh doktor selepas menjalani 33 kali rawatan di Taiwan.

“Terima kasih kepada semua peminat, keluarga dan persatuan yang sentiasa mendoakan kesihatan saya serta memberi sokongan dan semangat terutamanya ketika saya menghadapi ujian paling sukar dalam hidup apabila menghidap kanser.

“Penyakit ini bukan masalah kecederaan fizikal biasa dilalui atlet lain tetapi ia melibatkan kesihatan dalaman yang sangat digeruni sesiapa sahaja didapati menghidap kanser,” katanya pada siding media khas di Akademi Badminton Malaysia, BukitKiara, di sini hari ini.

Datuk Lee Chong Wei bercakap kepada wakil media tempatan dan luar negara pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, kelmarin. – Bernama

“Seperti orang lain, saya juga berasa hilang semangat, tidak selera makan dan tidak boleh tidur apabila tahu ada kanser.”

Sepanjang 18 tahun penglibatan dalam arena badminton negara, ‘Hero Negara’ itu menempuh pelbagai dugaan dan cabaran antaranya apabila didapati positif doping jenis dexamethasone pada Oktober 2014, selain kecederaan fizikal yang pernah dialaminya.

Chong Wei berkata tiada istilah berputus asa dalam dirinya dan beliau sentiasa bersemangat mahu meneruskan kariernya dalam sukan badminton dan meraih kejayaan untuk negara.

“Saya akan kembali ke gelanggang sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada doktor, mungkin pada Disember. Sekarang pun saya tetap berlatih sendiri di rumah. Saya terlalu sayangkan sukan badminton tetapi kini kesihatan adalah keutamaan saya.

“Saya tidak mahu berhenti lagi. Pingat emas Sukan Olimpik sentiasa menjadi impian saya, buat apa bertanding di Sukan Olimpik kalau mahu kalah, semua orang idamkan pingat emas Olimpik,” katanya. – Bernama