Kante bakar semangat Blues

LONDON, 20 SEPT – Thomas Tuchel melabelkan N’Golo Kante (gambar) sebagai ‘unik’ apabila pemain tengah Perancis itu memainkan peranan penting dalam kemenangan 3-0 ke atas Tottenham sebaik dimasukkan di separuh masa kedua kelmarin.

Pengurus Blues, Tuchel yang kecewa dengan persembahan anak buahnya di sepanjang separuh masa pertama itu, memasukkan Kante pada separuh masa kedua.

Pertukaran itu ternyata memberi impak apabila Chelsea meledak dua gol dalam tempoh 12 minit pada awal separuh masa kedua. Thiago Silva menanduk masuk gol pembukaan dan rembatan jarak jauh Kante terkena Eric Dier untuk gol kedua Chelsea.

Antonio Rudiger melengkapkan kemenangan selesa dalam masa kecederaan untuk membawa Chelsea ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tuchel tidak ragu-ragu siapa yang menjadi pemangkin semangat kepada kemenangan perlawanan derby Chelsea di London ketika dia memuji persembahan pemenang Piala Dunia Perancis, Kante yang memainkan peranan penting di Tottenham.

“Pemain hebat, jika anda mempunyai N’Golo anda mempunyai sesuatu yang semua orang mahukan,” kata Tuchel.

“Anda mempunyai apa yang diperlukan di bahagian tengah. Anda mempunyai pemain yang bagus, bersemangat, memenangi bola, lincah, menggelecek bola dan juga boleh menjaringkan gol. – AFP