Kante inspirasi kemenangan Chelsea

LEICESTER, UNITED KINGDOM, 21 NOV – Chelsea meraih kemenangan 3-0 di Leicester ketika ledakan gol N’Golo Kante membantu pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mendahului empat mata di puncak liga kelmarin.

Antonio Rudiger membuka jaringan dan percubaan jarak jauh Kante meletakkan Chelsea dalam kawalan sebelum Christian Pulisic keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua.

Pasukan bimbingan Thomas Tuchel tidak tewas dalam sembilan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertan-dingan setelah melupakan rasa pahit hasil seri 1-1 yang mengecewakan menentang Burnley sebelum perlawanan antarabangsa.

Persembahan sengit Chelsea memberikan jawapan terbaik terhadap dakwaan pengurus Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino baru-baru ini bahawa juara Eropah itu adalah pasukan ‘bertahan’.

Ia merupakan persediaan terbaik untuk minggu hebat yang menampilkan perlawanan penting Liga Juara-Juara menentang Juventus pada hari Selasa sebelum Manchester United melawat Stamford Bridge pada 28 November.

Aksi pemain Chelsea, N’Golo Kante menjaringkan gol kedua pasukannya dalam perlawanan EPL menentang Leicester City kelmarin. – AP

“Ia adalah perlawanan di gelanggang lawan yang bagus, keputusan yang cemerlang. Kami mencipta banyak peluang,” kata Tuchel.

“Kami tahu kami perlu kuat dari minit pertama hingga akhir. Inilah yang kami lakukan.

“N’Golo sangat luar biasa. Dia menemui rentaknya di dalam padang, apabila dia bermain dengan fikiran tenang, dia dapat memberikan perbezaan.”

Liverpool merapatkan jurang empat mata dengan pasukan Blues selepas menewaskan Arsenal 4-0.

Dengan pemain penyerang Belgium, Romelu Lukaku berharap untuk kembali sejurus selepas kecederaan buku lali dan Timo Werner kembali sebagai pemain ganti berikutan masalah hamstring, Chelsea berada dalam kedudukan baik untuk mengukuhkan kedudukan mereka di puncak carta.

Chelsea bertindak pantas untuk menghantar Leicester yang kurang bersemangat, yang hanya mencatatkan satu rekod dalam 17 perlawanan liga sebelum ini dan tiada satu pun sejak hari pembukaan musim ini. – AFP