Kapal angkasa China mendarat di bulan

BEIJING, 2 DIS – Kapal angkasa China mendarat di bulan semalam, dengan sasaran untuk membawa pulang sampel pertama dalam tempoh empat dekad, menurut agensi angkasa Beijing.

China telah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membiayai program angkasa dikendalikan oleh pihak tentera negara ini, dengan harapan bakal mempunyai stesen angkasa bersama kru menjelang 2022 dan seterusnya menghantar manusia ke bulan.

Matlamat misi terbaharu China itu adalah mengutip sampel batu dan tanah dari bulan bagi membantu penyelidikan ahli sains berhubung asal usul bulan, formasi serta aktiviti gunung berapi di permukaannya.

Kapal angkasa yang dinamakan Chang’e-5 itu berjaya mendarat di bulan semalam, kata pihak Pentadbiran Angkasa Kebangsaan China.

Sekiranya penerokaan tersebut berjaya, China akan muncul sebagai negara ketiga yang berjaya memperoleh sampel dari bulan, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet pada tahun 1960-an serta 1970-an.

Media negeri melaporkan bahawa kapal angkasa China terbabit berjaya memasuki orbit bulan Sabtu lalu, selepas menempuhi perjalanan selama 112 jam dari bumi.

Misinya adalah mengumpulkan dua kilogram sampel dari sebuah kawasan belum diterokai sebelum ini dikenali sebagai Oceanus Procellarum atau ‘Laut Ribut’.

Sampel terbabit dijangka kembali ke bumi dalam kapsul yang akan mendarat di rantau Mongolia, bulan depan, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA). – AFP

Gambar yang dikeluarkan oleh agensi berita Xinhua menunjukkan kapal angkasa Chang’e-5 dan permukaan bulan semasa proses pendaratan di Pusat Kawalan Angkasa Lepas Beijing pada 1 Disember. – AP