ATHENS, 27 OKT – Dua anggota kru kapal penyapu periuk api Greece mengalami kecederaan hari ini selepas ia berlanggar dengan sebuah kapal kontena Portugal di luar Piraeus, pelabuhan bersebelahan dengan Athens, kata tentera laut.
Terdapat 27 orang kelasi berada dalam kapal tentera laut, yang diselamatkan oleh bot rondaan pengawal pantai. Dua kru yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan.
Kapal penyapu periuk api itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian buritan dan ditunda balik ke pangkalan tentera laut di pulau Salamina berhampiran, kata kementerian tentera laut.
Pihak berkuasa pelabuhan Piraeus melancarkan satu siasatan dalam kejadian itu dan menambat kapal kontena Maerck Launceston, yang mengibarkan bendera Portugal, di pelabuhan. – AFP