Kapal Britain adakan kunjungan muhibah di Jepun

YOKOSUKA, JEPUN, 6 SEPT – Kapal pengangkut pesawat udara baharu Britain, HMS Queen Elizabeth telah mengadakan kunjungan muhibah ke Jepun, dalam satu misi yang menambah tekanan dari Tokyo, Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu ke atas China berhubung kehadiran maritim serantau.

Kapal Queen Elizabeth itu adalah salah satu daripada pengerahan Carrier Strike Group United Kingdom, yang membuat perhentian sekitar Jepun dan menjalankan eksesais bersama kapal-kapal dari negara-negara bersekutu.

“Kunjungan muhibah kumpulan ini ke Jepun dan eksesais bersama menggambarkan hasrat dua negara,” kata Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi hari ini di pangkalan Yokosuka, tempat kapal Britain itu berlabuh.

“Kerjasama pertahanan Jepun-UK menyumbang bukan saja kepada keselamatan negara kami namun juga keamanan dan kestabilan Indo-Pasifik dan komuniti antarabangsa, selain mengendalikan isu-isu global,” tambah Kishi.

Kedua-dua negara telah menyuarakan tentangan kepada usaha unilateral untuk menukar status quo di laut China Selatan dan China Timur yang dipertikaikan dan kepentingan peraturan maritim terbuka dan bebas, katanya.

Dalam kenyataan itu, kedutaan Britain di Tokyo berkata pengerahan itu adalah ‘demonstrasi kerjasama rapat dan kukuh UK bersama Jepun serta komitmen UK kepada keselamatan maritim di rantau Indo-Pasifik’.

Kapal besar seberat 65,000 tan itu merupakan kapal permukaan terbesar yang pernah dibina di UK dan mengetuai sekumpulan enam buah kapal Britain dan sebuah kapal selam serta satu lagi kapal pemusnah AS dan frigat Belanda. – AFP

Nobuo Kishi semasa bercakap kepada anggota media selepas memeriksa kapal HMS Queen Elizabeth Tentera Laut Diraja Britain di pangkalan tentera AS di Yokosuka, wilayah Kanagawa pada 6 September. – AFP