Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal China masuk wilayah Filipina

    MANILA, 9 Mac – Kapal tinjauan China telah memasuki perairan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai wilayah Filipina, kata setiausaha pertahanan Manila hari ini, dalam satu tindakan yang digambarkan oleh beliau sebagai ‘amat membimbangkan’.

    Delfin Lorenzana berkata kapal itu dilihat pada tahun lalu berhampiran Benham Rise, wilayah Filipina kira-kira 250 kilometer di luar pantai timur pulau utama Luzon, serta Tebing Reed di Laut China Selatan, yang dituntut oleh Manila dan Beijing.

    “Saya telah mengarahkan tentera laut bahawa jika mereka melihat kapal ini pada tahun ini, agar mendekati mereka dan mengusir mereka” dari Benham Rise, kata Lorenzana.

    “Isu yang membimbangkan adalah mereka mempunyai beberapa kapal yang menggunakan kawasan ini, tinggal di satu kawasan selama sebulan seolah-olah tidak melakukan apa-apa. Namun kami percaya mereka sebenarnya sedang meninjau dasar laut,” beritahunya kepada wartawan.

    Kenyataan Lorenzana keluar tatkala Presiden Rodrigo Duterte berusaha menjalin hubungan yang lebih mesra dengan Beijing, selepas hubungan menjadi dingin di bawah pentadbiran sebelumnya disebabkan tuntutan bertentangan di Laut China Selatan.

    Delfin Lorenzana semasa sidang media di ibu pejabat Angkatan Bersenjata Filipina (AFP) di Manila pada 9 Mac. – AFP
    Delfin Lorenzana semasa sidang media di ibu pejabat Angkatan Bersenjata Filipina (AFP) di Manila pada 9 Mac. – AFP

    Ketika ditanya kenapa kapal itu mungkin meninjau di sekitar Benham Rise, Lorenzana berkata beliau menerima maklumat bahawa kapal sedang “mencari satu tempat untuk menempatkan kapal selam.”

    Benham Rise adalah satu daratan dalam air yang dipercayai kaya dengan simpanan galian dan gas asli.

    Pada 2012, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Had Pelantar Benua meluluskan tuntutan wilayah Filipina ke atas Benham Rise.

    Filipina dan China, bersama Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam, mempunyai tuntutan bertentangan ke atas Laut China Selatan.

    China menuntut hampir kesemua jalan kapal penting, termasuk Tebing Reed, yang terletak kira-kira 148 kilometer di luar pulau Filipina Palawan dan yang dianggap oleh Manila sebagai wilayahnya.

    Pemimpin sebelum Duterte, Benigno Aquino, telah mendesak tuntutan Filipina sekali gus membawa kepada ketegangan dengan China.

    Namun Duterte, yang menjadi presiden pada tahun lalu, telah menumpu pada peningkatan hubungan dengan Beijing, tidak menghebohkan konflik wilayah sementara berusaha mendapatkan bantuan kewangan dan tentera. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda