Kapal, diesel RM1.2 Juta dirampas

LABUAN, 23 FEB – Sebuah kapal tangki yang membawa muatan diesel sebanyak 450,000 liter bernilai kira-kira RM1.2 juta, telah dirampas oleh polis marin Labuan pada Khamis lalu kerana memiliki minyak itu secara haram.

Kapal itu ditahan selepas kaptennya gagal mengemukakan rekod pembelian dan penjualan minyak tersebut.

Ketua Komander Polis Marin (Wilayah 4) Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kapal itu ditahan pada 5 petang semasa operasi antara agensi ‘Op Gelora Khas’ dengan para pegawai pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Labuan.

Beliau berkata ini adalah rampasan terbesar dalam operasi marin Labuan pada 2020 setakat ini.

“Pasukan kami sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan Labuan apabila mereka ternampak kapal itu yang berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran pelabuhan Labuan.

“Semasa pemeriksaan, pasukan kami telah menjumpai hampir setengah juta liter diesel tanpa permit dan kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kapten kapal itu gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan dan kami mendapati ada sesuatu yang mencurigakan serta terus menahan kapal tersebut dan menundanya ke jeti kami,” kata Mohamad Pajeri kepada Bernama. Kapten berusia 43 tahun, yang merupakan rakyat Indonesia, bersama enam kru rakyat Malaysia berumur antara 26 dan 40 tahun telah ditahan di dalam kapal itu untuk siasatan lanjut.

Kapal itu dianggarkan bernilai RM300,000 manakala diesel terbabit bernilai RM963,000.

Kapal tersebut mungkin diimpaun kerana melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. – Bernama