Kapal hospital bantu mangsa taufan Seroja

LEMBATA, INDONESIA, 7 APRIL – Angkatan tentera laut Indonesia menyediakan kapal-kapal hospital untuk membantu merawat mangsa Taufan Seroja yang telah mengorbankan kira-kira 160 orang di kepulauan itu dan negara jiran Timor-Leste, ketika kebimbangan memuncak berhubung penularan koronavirus di penempatan perlindungan yang sesak.

Helikopter juga dilihat menjatuhkan bekalan makanan dan barangan keperluan harian di kampung-kampung terpencil, sementara anjing pengesan dikerahkan untuk mencari mangsa hilang selepas berminggu-minggu banjir dan tanah runtuh di negara Asia Tenggara itu.

Hujan lebat akibat Taufan Tropika Seroja, salah satu ribut memusnahkan paling kuat melanda rantau itu dalam masa bertahun-tahun, menterbalikkan komuniti kecil menjadi sebuah tanah tandus diselubungi paya dan pokok-pokok tumbang sehingga menyebabkan ribuan berpindah ke tempat perlindungan.

Beberapa binaan di beberapa buah kampung telah diterbangkan ke tepi pergunungan dan ke pesisir lautan pulau Lembata Indonesia.

Puluhan terbunuh di pulau Adonara, di mana Sugeng kehilangan anak perempuannya berusia 20 tahun apabila air deras memusnahkan rumahnya dengan mayat anaknya ditemui terdampar di sebuah pantai.

“Dia cuba berpaut pada sebuah lemari namun arus deras menyebabkannya hanyut,” kata ayahnya berusia 60 tahun.

Kapal-kapal hospital dijangka akan berlepas dari Jakarta dan Semarang, bandar timur kota Indonesia, kata Raditya Jati, jurucakap bagi agensi bencana.

Sementara itu, sekitar 30 orang terkorban di Timor Leste – negara kepulauan kecil dengan penduduk 1.3 juta yang diapit antara Indonesia dan Australia. – AFP

Seorang penduduk duduk di atas trak di sebuah kampung yang terjejas banjir di Nalelamadiken di Pulau Adonara, wilayah Nusa Tenggara Timur pada 7 April. – AP