Kapal membawa 1,800 kereta terbakar

MADRID, 15 Mei – Satu kebakaran meletus pada subuh hari ini di atas sebuah kapal pengangkutan kereta Itali yang sarat dengan 1,843 buah kereta di luar pulau Mediterranean Majorca, kata perkhidmatan kecemasan maritim Sepanyol.

Lima belas daripada 25 krew kapal Grimaldi Lines Grande Europa dipindahkan daripada kapal sepanjang 183 meter dengan helikopter sebelum kebakaran berjaya dipadamkan pada tengah hari. Mereka yang tinggal di kapal membantu memadamkan api.

“Tidak ada sesiapa yang cedera,” beritahu jurucakap untuk perkhidmatan kepada AFP.

“Kami tidak tahu punca kebakaran yang bermula apabila kapal berada 25 batu nautikal di luar Majorca, kata beliau.

Api “dipadamkan” pada 1100 GMT, kata jurucakap, dan kapal tersebut sedang ditunda ke pelabuhan di Majorca.

Laman web The Vessel Finder berkata Grande Europa belayar dari Salerno, Itali petang semalam dalam perjalanan ke Valencia di Sepanyol. – AFP