Kapal minyak Saudi kena ‘serangan sabotaj’

RIYADH, 13 Mei – Arab Saudi berkata hari ini dua kapal tangki minyaknya mengalami kerosakan dalam ‘serangan sabotaj’ penuh misteri di Teluk ketika ketegangan memuncak di rantau yang sudah pun digegarkan dengan kebuntuan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Ia muncul ketika Setiausaha Negara, Mike Pompeo membatalkan lawatan dirancang ke Moscow sebaliknya menuju ke Brussels bagi rundingan bersama para pegawai Eropah mengenai Iran.

Tehran menyeru bagi siasatan dijalankan ke atas serangan ‘mencemaskan’ itu dan memberi amaran ‘kenekatan’ daripada pelaku asing yang ingin mengganggu keselamatan maritim.

Britain memberi amaran tentang bahaya konflik yang meletus ‘tanpa sengaja’ di Teluk.

AS sudah memperkukuhkan kehadiran tenteranya di rantau itu, termasuk mengerahkan beberapa pengebom B-52 strategik sebagai bertindak balas terhadap dakwaan ancaman Iran.

Gambar yang diambil pada 13 Mei menunjukkan kapal tangki minyak mentah, Amjad, antara salah satu daripada dua kapal tangki yang dilaporkan mengalami kerosakan dalam ‘serangan sabotaj’ misteri di luar pantai Fujairah. – AFP

Arab Saudi, pesaing ketat rantau republik Islam, mengecam “tindakan sabotaj yang menyasarkan kapal komersial dan awam berhampiran perairan wilayah Emiriah Arab Bersatu (UAE),” kata sumber kementerian luar negeri.

“Tindakan jenayah itu membentuk ancaman serius kepada sekuriti dan keselamatan navigasi maritim dan memberi kesan buruk kepada keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa,” tambah sumber itu lagi.

UAE berkata kelmarin yang empat kapal komersial dengan pelbagai kewarganegaraan telah disasarkan oleh tindakan sabotaj di luar emiriah Fujairah.

Menteri Tenaga Saudi, Khalid al-Falih berkata dua kapal tangki mengalami ‘kemusnahan signifikan’ namun tidak ada korban jiwa atau insiden minyak tumpah.

Sama ada Arab Saudi mahupun UAE tidak memberi butiran lanjut tentang kejadian serangan itu.

Menteri kerajaan UAE bagi hal ehwal luar negeri, Anwar Gargash, berkata Emiriah akan menyiasat ‘sabotaj sengaja’ tentang kapal-kapal itu.

“Siasatan akan dijalankan dalam cara yang profesional, faktanya akan dibuat dengan jelas dan kami mempunyai pendapat dan kesimpulan kami sendiri,” catatnya dalam Twitter.

Pelabuhan Fujairah merupakan satu-satunya terminal Emiriah yang terletak di pantai Laut Arab, melangkaui Semenanjung Hormuz, tempat kapal-kapal eksport minyak Teluk sering melintas.

Iran berulang kali telah mengancam untuk menutup semenanjung itu dalam kes konfrontasi tentera dengan Amerika Syarikat.

Salah satu dari dua kapal tangki yang telah diserang itu sedang dalam perjalanannya untuk dimuatkan dengan minyak mentah dari terminal Saudi bagi pelanggan-pelanggan di AS, kata Falih. – AFP