Kapal penggempur tentera UK berlabuh di negara ini

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Kapal penggempur Tentera Laut Diraja United Kingdom (UK), HMS Defender tiba di Negara Brunei Darussalam untuk lawatan selama tiga hari bagi memupuk hubungan pertahanan dua hala yang mendalam serta berpanjangan di antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom (UK).

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, HMS Defender merupakan sebahagian daripada Kumpulan Carrier Strike Group 2021 (CGS21) yang diketuai oleh HMS Queen Elizabeth, yang sedang dalam operasi penugasan pertamanya pada tahun ini.

Kapal Queen Elizabeth merupakan satu daripada dua buah kapal perang terbesar yang pernah dibina oleh Tentera Laut Diraja (Royal Navy) dan ketika ini, mengetuai sebuah kumpulan tugas bersekutu dan British dalam penugasan global paling penting UK dalam masa dua dekad dengan mengadakan lawatan ke Mediterranean, Timur Tengah dan Indo-Pasifik.

Kapal tersebut mendemonstrasikan saling boleh kendali UK dengan rakan-rakan dan sekutu-sekutunya di samping berkebolehan untuk mengetengahkan keupayaan kuasa ketenteraan terkini dalam sokongan sekuriti maritim antarabangsa.

Pegawai Pemerintah HMS Defender, Komander Vince Owen berkata, ia merupakan satu penghormatan yang besar bagi HMS Defender diberikan peluang untuk mewakili Global Britain di Brunei.

HMS Defender berlabuh di Negara Brunei Darussalam untuk lawatan selama tiga hari.

Beliau berkata Brunei merupakan sahabat dan rakan kongsi penting yang berkekalan bagi UK di rantau ini selain mendalami lagi hubungan terjalin dalam menyokong matlamat bersama bagi kestabilan dan pembangunan ekonomi serantau.

Hadir mengalu-alukan ketibaan kapal itu ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe, Penasihat Pertahanan British, Group Captain Graeme Davis dan wakil-wakil daripada Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

TYT John Virgoe berkata, pihaknya amat gembira HMS Defender membuat lawatan ke Brunei di mana ia merupakan kapal UK kelima yang membuat lawatan ke negara ini dalam tempoh masa tiga tahun.

Beliau menambah penugasan itu menunjukkan komitmen UK kepada perintah antarabangsa berasaskan peraturan amat penting bagi mengekalkan kestabilan, sekuriti dan kemakmuran di Asia Tenggara.

Semasa lawatan itu, anggota kru kapal berkenaan akan mengadakan Passing Exercise dengan TLDB dan beberapa aktiviti penghubung.

Lawatan itu telah dirancang dengan kerjasama erat daripada Kementerian Kesihatan Brunei bersama protokol ketat ditetapkan bagi memastikan kapal dan krunya bebas daripada COVID serta untuk mengekalkan sebarang risiko pada Brunei.

Kesemua kru kapal divaksinasi penuh dan diuji mengikut garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dan atas pertimbangan COVID, HMS Defender tidak akan dibukakan kepada orang ramai bagi lawatan.