Kapal persiaran ancam keindahan Venice

ROM, 22 JUN – Venice akan semakin terancam jika bandar raya itu tidak mengeluarkan arahan kekal melarang kapal persiaran berlabuh di kawasan itu, kata UNESCO pada Isnin.

UNESCO berkata pihaknya akan meneliti cadangan untuk meletakkan Venice dalam senarai bandar raya terancam pada sidang pleno yang akan bermula 16 hingga 31 Julai, lapor ANSA.

Jika diluluskan kelak, kerajaan Itali perlu mengambil langkah segera menjelang Februari depan.

Larangan terhadap kapal persiaran telah dikeluarkan awal tahun ini tetapi kapal itu masih kembali ke Venice.

Desakan mengenai larangan itu sudah dibuat sejak sekian lama, kerana kapal persiaran yang memasuki Venice boleh menjejaskan keindahan bangunan bersejarah di bandar raya ini dan merosakkan keunikan ekosistem lagunnya. Desakan semakin kuat selepas sebuah kapal persiaran merempuh tembok penghadang pada Jun 2019.

Pada 12 Mei, Dewan Rakyat meluluskan dekri melarang kapal persiaran berlabuh di Venice.

Menurut Menteri Kebudayaan Dario Franceschini keputusan kerajaan itu berjaya menghentikan kegiatan tersebut dan rancangan untuk kapal persiaran berlabuh di luar lagun Venice mesti disusun dan dilaksanakan.

Sejak Disember lalu pelabuhan perindustrian di bandar raya itu telah dijadikan kawasan berlabuh untuk kapal-kapal besar.- Bernama

Larangan terhadap kapal persiaran memasuki Venice telah dikeluarkan awal tahun ini tetapi terdapat kapal persiaran masih kembali ke tempat tersebut.- AFP