Kapal persiaran dari China tidak dibenar masuk Malaysia

PUTRAJAYA, 16 FEB – Semua kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di China tidak dibenarkan memasuki negara ini buat sementara waktu, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah sementara itu diputuskan bagi mengelak penularan COVID-19 susulan kes melibatkan seorang wanita warga Amerika Syarikat yang didapati positif bagi jangkitan kluster itu semalam.  Beliau berkata kerajaan mengambil maklum bahawa wanita berumur 83 tahun itu merupakan seorang daripada 1,455 penumpang kapal persiaran Westerdam yang pernah berlabuh di Hong Kong.

“Kami tahu kapal itu singgah semalaman di Hong Kong sebelum memulakan pelayaran Asia Timur selama 14 hari pada 1 Februari.

“Jadi, ada kemungkinan berlaku kontak antara penumpang dengan penduduk Hong Kong yang memungkinkan ada antara mereka terdedah dengan virus itu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata wanita itu bersama suaminya merupakan antara145 penumpang kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lepas, kapal itu sebelum sampai di Malaysia pada hari berikutnya.  Menurut Dr Noor Hisham, wanita itu dan suaminya telah dikesan bergejala sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh di mana ujian saringan yang dilakukan mengesahkan hanya wanita itu positif COVID-19.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga memutuskan baki penumpang kapal persiaran Westerdam yang masih berada di Kemboja tidak dibenarkan memasuki Malaysia. – Bernama