Kapal persiaran jadi hotel

YOKOHAMA, 18 JULAI – Tokyo berdepan kekurangan bilik penginapan bagi peminat Sukan Olimpik 2020 dengan para pegawai kini memikirkan rancangan menambah lebih banyak kapal pesiaran untuk beroperasi sebagai hotel.

Menurut satu kajian, meskipun berlaku penambahan dalam sektor pembinaan, Tokyo dijangka bakal kekurangan sehingga 14,000 bilik hotel bagi menampung pelancong pada Sukan Olimpik nanti.

Pegawai tempatan memikirkan jalan menempatkan kapal pesiaran gergasi untuk ditempatkan di Tokyo dan juga berhampiran Yokohama ketika temasya itu.

Antara yang bersetuju dengan cadangan itu adalah agensi pelancongan terbesar Jepun, JTB, yang sudah menempah kapal pesiaran yang mempunyai 1,011 kabin dan turut dilengkapi jakuzi dan juga pawagam.

Agensi itu turut menawarkan kombinasi bilik dengan tiket ke acara Olimpik tetapi harganya tidak murah.

Penginapan dua malam bagi sebuah bilik yang mempunyai beranda dengan tiket ke perlawanan bola sepak Olimpik boleh mencecah 200,000 yen sementara penginapan dua malam di bilik suite dengan tiket besbol mencecah harga 724,000 yen.

Agensi itu berkata mereka yakin mengenai permintaan yang ada disebabkan ‘kami kekurangan hotel yang memenuhi tahap tertentu,’ kata ketua JTB yang terbabit dalam Tokyo 2020, Minoru Kuge. – AFP