Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal persiaran ke-8 tiba di Brunei

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Kapal Persiaran CMV Vasco Da Gama-Nicko buat julung kalinya mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam setelah tiba dari Semarang, Indonesia, dengan membawa 627 penumpang dan 496 anak kapal.

    Ini menandakan kapal persiaran antarabangsa ke-8 melawat Brunei tahun ini.

    Persinggahan itu menawarkan peluang kepada penumpang untuk meneroka tarikan ikonik negara sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.

    Ketibaan para penumpang disambut dengan persembahan hadrah, mencetuskan suasana meriah pada hari tersebut.

    Mereka telah dibawa melawat ke tempat yang menarik termasuk Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman dan Kampong Ayer.

    Semasa lawatan singkat itu, mereka juga berkesempatan menikmati pelbagai kulinari tempatan serta berpeluang membeli cenderahati asli Negara Brunei Darussalam.

    Para penumpang berkongsi tanggapan mereka tentang daya tarikan dan keindahan Negara Brunei Darussalam yang unik.

    Hubertus dari Munich, Jerman menyatakan akan kekagumannya terhadap landskap yang menakjubkan dan menggambarkan Brunei sebagai negara yang sangat istimewa.

    Sementara itu, salah seorang penumpang dari Jerman, Birgit juga mendapati Brunei sebagai sebuah negara yang indah selepas menerokai ibu negara.

    Manakala Alfred turut mengongsikan pengalamannya melawat ibu negara di mana beliau telah melawat tempat-tempat yang sangat menarik di kawasan tersebut.

    Ketibaan berterusan kapal persiaran antarabangsa menyerlahkan lagi daya tarikan negara yang semakin meningkat sebagai destinasi pelayaran utama.

    Pada tahun 2024, lapan kapal persiaran telah berlabuh di perairan negara dan Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) menjangkakan tiga panggilan tambahan ketibaan kapal persiaran sebelum tahun ini berakhir.

    Kapal persiaran CMV Vasco Da Gama-Nicko buat julung kalinya mengadakan lawatan ke negara ini setelah tiba dari Semarang, Indonesia. – GAMBAR SERAHAN JKP
    Ketibaan para pelancong yang mengikuti pelayaran tersebut. – GAMBAR SERAHAN JKP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda