Kapal selam rosak terlanggar gunung dalam air

WASHINGTON, 2 NOV – Sebuah kapal selam nuklear Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang rosak teruk dalam satu kemalangan ketika menjalani operasi di Laut China Selatan bulan lalu terlanggar gunung bawah permukaan air, kata tentera laut semalam.

Tentera Laut AS sering menjalankan operasi di Laut China Selatan untuk mencabar tuntutan wilayah oleh China ke atas pulau kecil, terumbu dan singkapan yang membangkitkan kemarahan Beijing. Armada ke-7, yang beroperasi di barat Pasifik, berkata satu siasatan telah menyim-pulkan bahawa kapal selam USS Connecticut merempuh formasi geologi dan bukannya sebuah kapal lain pada 2 Oktober.

“Siasatan memutuskan USS Connecticut terkandas di gunung dalam air ketika beroperasi di perairan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik,” kata jurucakap Armada ke-7 dalam satu kenyataan. Beijing menuntut hampir kesemua Laut China Selatan, sebahagiannya juga dituntut oleh empat negara Asia Tenggara serta pulau Taiwan. Tentera Laut mengesahkan kejadian itu seminggu selepas ia berlaku, hanya mengatakan Connecticut, sebuah kapal selam nuklear, ‘terlanggar satu objek ketika melancarkan operasi selaman.’

Namun Beijing hari ini menuduh Washington gagal memberikan maklumat terperinci dan tepat pada masanya mengenai insiden itu, mengadu ‘kekurangan ketelusan dan sikap tidak bertanggungjawab dari AS.’ Jurucakap kementerian luar Wang Wenbin berkata China menyeru AS supaya memberikan penjelasan mengenai ‘niat pelayaran kapal, lokasi khusus kemalangan, sama ada ia berada di zon ekslusif ekonomi atau perairan wilayah mana-mana negara, dan sama ada ia mengakibatkan kebocoran nuklear atau kerosakan kepada persekitaran lautan.’ – AFP