Kapal tangki Iran rosak di Laut Merah

TEHRAN, 21 OGOS – Sebuah kapal tangki minyak Iran mengalami kerosakan di Laut Merah dekat Arab Saudi bagaimanapun kru-krunya dalam keadaan selamat dan pembaikan sedang dilakukan, menurut laman web kementerian minyak hari ini.

Kapal HELM mengalami ‘kerosakan teknikal’ kira-kira 120km dari utara pelabuhan Yanbu, Saudi, kelmarin, kata laman web kementerian, memetik National Iranian Tanker Company (NITC).

“Kru-kru kapal tangki sedang sibuk memperbaiki kerosakan dan kapal itu dalam keadaan stabil dari kawasan keselamatan,” kata pengarah teknikal NITC, Akbar Jabalameli dipetik sebagai berkata.

Kru kapal tangki dalam keadaan selamat dan ‘dalam kesiap sediaan penuh untuk menyelesaikan masalah itu’, tambahnya.

TankerTrackers.com, yang memantau pergerakan kapal itu, berkata HELM membawa 1.3 juta tong minyak mentah dan sedang menuju ke Terusan Suez dari pulau Kharg, Iran.

Kapal itu termasuk dalam senarai entiti yang tertakluk dengan sekatan Amerika di laman web Perbendaharaan AS.

Ia adalah kejadian kali kedua kerosakan kapal Iran beberapa bulan kebelakangan ini selepas kapal tangki Happiness 1 terpaksa melakukan pembaikan di pelabuhan Jeddah, Saudi dengan anggaran kos dilaporkan sekitar AS$10 juta. – AFP