Kapal tangki, tentera bertembung

OSLO, 8 Nov – Kapal frigat tentera laut Norway dan kapal tangki minyak Malta bertembung di barat Norway hari ini, menurut pihak berkuasa setempat, tujuh orang telah menerima rawatan.

Kapal frigat KNM Helge Ingstad yang kembali daripada latihan Trident Juncture NATO, telah dikosongkan selepas bertembung dengan kapal tangki Sola TS, menurut tentera Norway.

“Ia telah dimasuki air yang banyak dan terdapat risiko bahawa ia akan tenggelam di tempat kejadian,” beritahu pihak berkuasa pusat menyelamat Sola kepada AFP.

Imej yang dikeluarkan oleh rangkaian penyiaran Norway NRK menunjukkan air telah mencapai tahap tempat platform helikopter kapal tersebut. Seramai 137 berada di dalam kapal frigat tersebut sementara 23 di kapal tangki, yang memiliki bendera Malta, menurut pegawai.

Tangki seberat 62,000 tan mengalami kerosakan kecil dan menunggu untuk ditunda ke terminal minyak yang berhampiran, kata pegawai pusat menyelamat.

“Tumpahan minyak dari kapal frigat telah dapat dikesan tetapi tumpahan tersebut tidak banyak,” tambah beliau.

Situasi insiden yang berlaku selepas jam 4 pagi di Hjeltefjord berhampiran Bergen masih belum jelas.

“Pasukan tentera kini sedang menyemak semula semua cara yang terdapat di wilayah tersebut bagi memberi bantuan kepada KNM Helge Ingstad,” beritahu Leftenan Kolonel Ivar Moen kepada AFP.

Dibuat pada 2009, KNM Helge Ingstad menyertai operasi pelucutan senjata kimia di Syria antara Disember 2013 dan Mei 2014. – AFP

Keadaan dua buah kapal yang bertembung di Hjeltefjord berhampiran Bergen kelmarin. – AFP