Kapal tentera laut AS terbakar

LOS ANGELES, 13 JULAI – Satu letupan di kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang berlabuh di pangkalan di California mencetuskan kebakaran semalam dan mencederakan 21 orang, kata pegawai dan media tempatan.

Kapal USS Bonhomme Richard, sebuah kapal penggempur, berada di pelabuhan di San Diego untuk kerja-kerja penyelenggaraan apabila letupan meletus.

Asap tebal kelihatan berkepul-kepul naik dari sebahagian besar kapal, tatkala kejadian yang disiarkan oleh CNN menunjukkan bot bomba menggunakan penyembur air dalam usaha memadamkan kebakaran.

Twitter Tentera Laut Surface, Armada Pasifik AS, berkata 17 anak kapal dan empat orang awam dibawa ke hospital dengan kecederaan ringan. Beberapa anggota bomba dilaporkan juga mengalami luka terbakar dan penyedutan asap.

Colin Stonewell, ketua jabatan bomba San Diego, memberitahu CNN bahawa kebakaran boleh berterusan ‘selama beberapa hari’ dan ‘membakar sehingga ke garis air.’

Punca letupan masih belum diketahui.

Kira-kira 160 kelasi berada di dalam kapal tersebut semasa kejadian. – AFP

Satu kebakaran meletus di kapal penggempur amfibia USS Bonhomme Richard di Pangkalan Tentera Udara San Diego di San Diego, California pada 12 Julai 2020. – AFP