Kapal tentera laut Perancis berlabuh di Malaysia

PORT KLANG, April 13 – Dua kapal tentera laut Parancis ‘Dixmude’ dan ‘Surcouf’ berlabuh di Pelabuhan Klang di bawah misi ‘Jeanne d’Arc’ untuk berbincang dan bertukar-tukar kepakaran ketenteraan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ini akan menyaksikan penempatan 133 kadet muda dari Perancis dan negara lain memulakan latihan kerja di Malaysia sebagai sebahagian daripada misi tersebut yang bermula di Toulon Perancis sejak Februari lepas.

Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche, berkata ketibaan kedua-dua kapal itu merupakan satu testimoni terhadap hubungan erat yang sedia terjalin antara Perancis dan Malaysia sejak 60 tahun.

“Kita telah memupuk kerjasama lebih erat sejak 20 hingga 30 lepas dalam bidang politik dan pertahanan.

“Perancis dan Malaysia berkongsi kepentingan yang sama dari segi keselamatan di laut, membanteras keganasan dan lanun dan secara umumnya keupayaan untuk melindungi kebebasan Navigasi dan penguatkuasaan undang-undang laut,” katanya kepada pemberita setelah ketibaan kedua-dua kapal itu pada 11 pagi tadi.

Kapal Tentera Laut Perancis L9015 Dixmude tiba di jeti Pelabuhan Utara sempena lawatan empat hari bermula 13 April hingga 16 April ini untuk misi Jeanne D’Arc 2018, semalam. – Bernama

Beliau berkata hubungan pertahanan kedua-dua negara diletakkan di bawah payung Jawatankuasa Strategik Tertinggi Bersama yang dipengerusikan bersama oleh menteri pertahanan kedua-dua negara di mana mesyuarat terakhir diadakan di Kuala Lumpur pada Januari lepas.

Kapal gergasi ‘Dixmude’, di bawah pegawai pemerintah Kapten Jean Porcher bersama 209 kelasi mempunyai keupayaan membawa 16 buah helikopter. Digelar sebagai kapal hospital, ia mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan ketika operasi pertempuran atau krisis kemanusiaan, manakala kapal ‘Surcouf’ di bawah pegawai pemerintah Christine Ribbe pula merupakan kapal pemusnah secara senyap.

Misi Jeanne d-Arc yang bermula dari pelabuhan Toulon, iaitu pangkalan utama tentera laut Perancis pada Februari lepas akan mengelilingi separuh dunia sebelum kembali semula ke pangkalan itu pada Julai depan. – Bernama