Kapal terkandas rosakkan batu karang

KOTA KINABALU, 10 SEPT – Para pemain industri pelancongan di sini meminta pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan termasuk menjalankan kerja-kerja pemulihan batu karang berhampiran perairan Kudat selepas ianya rosak akibat sebuah kapal kargo terdampar di situ.

Kapal kargo tempatan itu terkandas di perairan Pulau Kalampunian pada pagi Ahad disebabkan kerosakan pada sistem navigasi mereka.

Pengasas Bluefin Surf and Dive, Ivan Tan dalam satu kenyataan hari ini berkata insiden tersebut telah menyebabkan kerosakan kepada batu karang.

“Ia telah menwujudkan satu terusan baru. Saya rasa mereka tidak terkena tapak selaman yang dikenali sebagai ‘Nemo Point’, namun kejadian tersebut telah menyebabkan kerosakan batu karang di kawasan berkenaan,” katanya dan menambah beliau dan beberapa penyelam telah ke kawasan tersebut memeriksanya semalam.

Pada pagi Ahad, Tan yang pada masa itu membawa beberapa pelancong untuk melakukan aktiviti snorkeling terkejut melihat kapal tersebut di kawasan perairan yang cetek. Beliau berkata kejadian seumpama itu pernah berlaku sekitar tahun 70-an atau 80-an tetapi impak kerosakan kejadian kali ini adalah lebih teruk terhadap baru karang dan penyu. – Bernama