Kapal TLDB berjaya tembak misil

HAWAII, 6 SEPT – Kapal Tentera Laut Diraja Brunei (TLBD) Kapal Diraja Brunei (KDB) Darulehsan mencatatkan titik penting dalam sejarah apabila berjaya melancarkan peluru berpandu MMM40 BII Exocet di Pacific Missle Range Facility (PMRF), Hawaii dalam siri Live Firing Sinking Exercise (SINKEX) semasa menyertai Eksesais RIMPAS 2020 baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang diterima di sini hari ini, dengan pencapaian itu, KDB Darulehsan telah berjaya mencapai kemampuan operasi sepenuhnya dalam semua aspek yang mana kejayaan ini juga telah dicapai oleh KDB Darussalam dan KDB Darulaman semasa latihan penembakan peluru berpandu semasa Eksesais RIMPAC 2014 yang lalu.

Para pegawai dan anggota TLDB telah bekerja keras bagi persiapan dan pelaksanaan Eksesais RIMPAC 2020 yang menyumbang kepada kejayaan penembakan SINKEX pada 29 Ogos 2020 pada jam 1729W (30 Ogos 2020 pada jam 1129H waktu Brunei).

Mereka bukan sahaja memperolehi pengalaman yang tidak ternilai, bahkan mereka telah membuktikan kebolehan mereka, yang menambahkan satu lagi pencapaian penting dalam kemampuan operasi KDB Darulehsan dan menandakan satu lagi kejayaan besar bagi TLDB.

RIMPAC, atau the Rim of the Pacific Exercise, adalah latihan maritim antarabangsa terbesar di dunia yang dihoskan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.

RIMPAC tahun ini diadakan dari 17 hingga 31 Ogos di sekitar Kepulauan Hawaii, melibatkan 20 kapal dari 10 negara peserta dan acara dikhususkan di laut sahaja bagi mengurangkan risiko wabak COVID-19.

RIMPAC menggambarkan diplomasi pertahanan pada dasarnya, untuk meningkatkan interoperability di antara angkatan-angkatan tentera laut sedunia sebagai kaedah untuk mempromosikan kestabilan di rantau ini bagi kepentingan semua negara yang mengambil bahagian.

KDB Darulehsan akan berlepas dari Hawaii pada 4 September untuk pelayaran balik dan dijadualkan tiba di Pangkalan Tentera Laut Muara, Negara Brunei Darussalam pada 25 September ini.

KDB Darulehsan ketika melancarkan peluru berpandu (gambar sisipan) pada Eksesais RIMPAC 2020. – Gambar serahan Kem. Pertahanan