Kapal tumpahan minyak terbelah dua

PORT LOUIS, MAURITIUS, 16 OGOS – Sebuah kapal yang menumpahkan lebih 1,000 tan minyak di perairan asli luar pantai Mauritius telah terbelah kepada dua, kata operator Jepun hari ini.

Kapal pengangkut MK Wakashio terkandas di terumbu karang di luar pantai tenggara Mauritius pada 25 Julai dan mula mengeluarkan minyak lebih se-minggu kemudian, justeru mengancam sebuah taman marin dilindungi yang mempunyai hutan paya dan spesies terancam.

Mauritius mengisytiharkan kecemasan alam sekitar dan kru menyelamat bekerja siang dan malam untuk mengepam 3,000 tan minyak yang masih tinggal dalam kapal.

“Kapal disahkan telah terbelah dua pada 15 Ogos,” kata operator kapal Mitsui OSK Lines dalam satu kenyataan, menambah maklumat datang daripada pemilik kapal, Nagashiki Shipping.

Kapal yang terputus dua itu berpunca daripada rekahan dalam sebuah kargo di bahagian buritan kapal, kata Mitsui.

Hampir kesemua 3,000 tan minyak yang tinggal telah pun dipam dari kapal pada masa itu, walaupun masih terdapat 90 tan dalam kapal, kebanyakannya sisa daripada kebocoran.

Kumpulan menyelamat berhasrat menarik dua pertiga daripada bahagian depan kapal keluar ke laut menggunakan dua kapal tunda dan membiarkannya tenggelam untuk mengelak kerosakan lanjut di pinggir laut Mauritius, kata pegawai polis di Port Louis, bercakap kepada AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan kerana dia tidak dibenarkan bercakap kepada media. – AFP

Gambar diambil dari udara kelmarin menunjukkan kapal MV Wakashio yang terkandas dan terbelah dua berhampiran Taman Marin Blue Bay, Mauritius. – AFP