Kapasiti data akan ditambah

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Dalam usaha bagi memudahkan pembelajaran dalam talian (online) bagi para pelajar yang akan bermula pada 30 Mac ini, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pendidikan telah membuat perundingan dengan Syarikat Unified National Network Sendirian Berhad (UNN) untuk menambah kapasiti ke atas data fixed broadband di negara ini bagi membolehkan penuntut-penuntut dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah memaklumkan perkara ini pada Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah Kementerian Kesihatan hari ini.

“Perundingan ini adalah untuk menambah kapasiti ke atas data fixed broadband di negara ini bagi membolehkan penuntut-penuntut untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” tambahnya.

Beliau seterusnya menegaskan yang aplikasi atau platform yang tidak berkenaan dengan pembelajaran atau apabila penggunaan data melebihi had kuota yang ditetapkan akan disekat mengikut terma dan syarat-syarat yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi masing-masing.

Syarikat UNN sejak penubuhannya sedang aktif dan membuat pelaburan dalam usaha untuk mengembangkan dan meningkatkan infrastruktur telekomunikasi di negara ini.

Dengan langkah yang bersepadu ini serta sokongan dari syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini, jelas Yang Berhormat Dato, ia akan dapat mendukung objektif Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.

“Ini seterusnya membantu Kementerian Kesihatan dalam usaha untuk mengekang wabak COVID-19 di negara ini amnya dan khususnya kepada penuntut-penuntut sekolah di negara ini,” tegasnya.

Yang Berhormat Dato seterusnya pada sidang media itu turut menjelaskan jika penggunaan data broadband di rumah melebihi penggunaan daripada kuota, ia masih boleh digunakan tapi hanya untuk pendidikan sahaja.

Pembelajaran dalam talian ini adalah bagi semua sekolah rendah, menengah, pusat-pusat tingkatan enam, sekolah-sekolah vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) termasuk sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan sekolah-sekolah swasta.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa bercakap pada sidang media yang berlangsung di Dewan Al-Afiah Kementerian Kesihatan bagi Status Terkini COVID-19 di negara.