Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Kapasiti di dewan pelepasan LTAB kini 75 peratus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan mengenai prosedur serta langkah pencegahan terkini di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

    Kenyataan menyatakan bahawa orang ramai dibenarkan menghantar individu yang hendak membuat perjalanan keluar negeri mengikut had kapasiti dewan berlepas yang dibenarkan iaitu pada 75 peratus daripada had kapasiti atau maksimum 300 orang.

    Sementara itu, bagi ketibaan penumpang-penumpang yang tiba di LTAB, keluarga atau rakan-rakan tidak dibenarkan untuk menjemput atau menyambut mereka yang tiba di lapangan terbang kerana semua penumpang akan terus menjalani pengasingan diri mandatori di hotel penginapan yang diisytiharkan.

    Semua penumpang dan orang ramai dikehendaki untuk mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki Bangunan Terminal LTAB di mana hanya individu yang mempunyai kod warna hijau dan kuning akan dibenarkan masuk.

    Orang ramai yang hendak memasuki bangunan terminal lapangan terbang tetapi belum melengkapkan vaksinasi mereka dikehendaki untuk menunjukkan hasil ujian saringan ujian pantas antigen (ART) yang negatif dari pusat ART yang diiktiraf, yang mana tempoh pengesahan keputusan ujian adalah sah bagi tempoh dua hari dari ia diambil.

    Penumpang-penumpang yang akan membuat penerbangan dikehendaki menunjukkan dokumentasi penerbangan yang sah. Kenyataan menyatakan lagi bahawa restoran, kafe dan kedai-kedai di dalam Bangunan Terminal LTAB adalah dihadkan kepada 75 peratus kapasiti mengikut kawasan premis masing-masing.

    Jabatan Penerbangan Awam juga memaklumkan orang ramai bahawa sistem penghawa dingin di dewan-dewan ketibaan dan perlepasan di LTAB sedang mengalami kerosakan teknikal dan kerja-kerja penggantian dan membaik pulih sedang dijalankan.

    Pihak Jabatan Penerbangan Awam memohon maaf atas kurang keselesaan yang dialami oleh pengguna-pengguna LTAB semasa tempoh pembaikpulihan itu.

    Dewan pelepasan kini dibenarkan memuatkan 75 peratus had kapasiti. – Gambar fail
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...