Kapasiti ditingkatkan kepada 80 peratus

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Pelan de-escalation bagi pusat penjagaan kanak-kanak, pusat orang kelainan upaya (OKU), muzium-muzium, galeri-galeri pameran dan perpustakaan akan memasuki tahap ketiga pada 27 Julai depan dengan beberapa perubahan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menjelaskan, di bawah pelaksanaan tahap ketiga berkenaan, kapasiti bagi pusat penjagaan kanak-kanak akan ditingkatkan daripada 60 peratus kepada 80 peratus dalam satu masa tertakluk kepada kapasiti ruang pusat.

Pusat berkenaan akan dibukakan kepada kanak-kanak yang berumur enam bulan ke atas dan tidak mempunyai simptom seperti demam, selesema atau berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk.

Di samping itu, pusat penjagaan kanak-kanak juga dibenarkan untuk melakukan aktiviti berbentuk individu dan berkumpulan.

Kesemua ini, tambah beliau, tertakluk kepada kelulusan hasil pemeriksaan pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi pusat penjagaan kanak-kanak untuk beroperasi dalam kadar 80 peratus.

Bagi pusat OKU pula, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, penggunaan juga akan tingkatkan daripada 60 peratus kapasiti kepada 80 peratus kapasiti dalam satu masa tertakluk kepada kapasiti ruang pusat.

Fasiliti berkenaan hanya dibukakan kepada OKU yang berisiko rendah dan sederhana dan aktiviti pusat dibenarkan untuk aktiviti-aktiviti dalaman, luar dan berkumpulan.

Sementara itu, muzium dan galeri akan beroperasi setiap hari kecuali Isnin, Jumaat dan kelepasan awam manakala itu, perpustakaan akan beroperasi seperti biasa pada setiap hari waktu bekerja. Muzium, galeri dan perpustakaan akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tidak melebihi 70 orang dalam satu masa tertakluk kepada kapasiti ruang berkenaan.