Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapasiti guru penting

    Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa sebagai pendidik, guru memang dikehendaki sentiasa cemerlang untuk melahirkan anak-anak bangsa yang berjaya.

    “Guru adalah nadi bagi kejayaan. Berdasarkan dunia yang sentiasa berubah dan berkembang maka tuntutan kapasiti sumber tenaga manusia adalah semakin mencabar, sekali gus turut memberikan implikasi pada definisi kecemerlangan seorang guru,” tegas Baginda semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-27 yang berlangsung di Pusat

    Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini. Tema Sambutan Hari Guru bagi tahun ini ialah ‘Kecemerlangan Guru Teras Kejayaan Ummah’.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah Baginda melahirkan rasa gembira dengan usaha Kementerian Pendidikan untuk menjadikan perkembangan kapasiti guru sebagai fokus utama dalam strategi pendidikan yang sememangnya wajar untuk pembaikan dan peningkatan diri.

    “Menyentuh usaha mengukuhkan kapasiti guru, Beta menyambut baik inisiatif Literasi dan Numerasi Coaching Programme (Program Bimbingan Literasi dan Numerasi) yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.

    Baginda Sultan berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-27, kelmarin.

    “Program ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai guru-guru tempatan yang cemerlang, yang diperakui sebagai local coaches (pembimbing temparan).

    Baginda gembira mengetahui, bahawa seramai 29 guru setakat ini telah pun menamatkan program pembangunan kapasiti dan kini diiktiraf sebagai local coaches dalam Literasi dan Numerasi Coaching Programme ini.

    Baginda berharap jumlah itu akan meningkat lagi manakala bagi guru-guru yang tidak terlibat secara langsung sebagai local coaches atau training partners adalah disarankan supaya memanfaatkan kepakaran international coaches dengan mengikuti program perkembangan profesional guru-guru yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.

    Dalam pada itu, Baginda turut mengingatkan supaya Kementerian Pendidikan tidak bersifat leka atau terlepas pandang dalam memantau perlaksanaan seperti Program Bimbingan Literasi dan Numerasi untuk memastikan ia berjalan di atas landasan yang tidak bercanggah dengan falsafah negara.

    Ini, tegas Baginda sangat penting di samping perubahan signifikan yang dibawanya kepada prestasi guru.

    Sehubungan itu, titah Baginda adalah wajar bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk mengambil daya usaha bersama-sama dengan jabatan dan agensi yang berkenaan bagi menyediakan pakej yang menarik sebagai insentif pada guru-guru yang berminat menjadi local coaches.

    “Dalam masa yang sama kita juga akan mengukur, kompentensi pelajar dalam pengetahuan dan kemahiran berfikir. Ini dapat dilaksanakan melalui penyertaan Brunei Darussalam dalam Program for International Students Assement (PISA) yang akan disertai oleh setiap pelajar kita yang berumur 15 tahun pada tahun 2018.

    “Ia akan menilai kompentensi serta kedudukan pelajar-pelajar kita itu berbanding dengan pelajar lain di peringkat antarabangsa. Ini juga merupakan cabaran terhadap tahap kapasiti guru-guru kita dalam menerapkan kefahaman kepada pelajar kita untuk memahami bahan kandungan dan proses berfikir yang kompleks di dalam kehidupan kita,” titah Baginda.

    Baginda seterusnya mengingatkan bahawa dalam hal ini, kita jangan lupa, satu perkara yang lebih penting berbanding pencapaian akademik iaitu nilai akhlak mulia bagi pelajar.

    Ia sayugia jangan diabaikan, tegas Baginda sambil menekankan bahawa para guru adalah bertanggungjawab langsung terhadap pembentukan akhlak pelajar di mana peranan mereka bukan setakat memperkaya sumber ilmu tetapi juga menjadi ikutan atau tauladan pada anak didik iaitu guru.

    “Kerana itu, guru tidak boleh berlepas tangan mengenai akhlak, kerana akhlak itu sendiri adalah pakaian guru.

    “Dalam konteks yang sama juga, ibu bapa tidak boleh berkecuali mengenai pendidikan bahkan merekalah sekolah utama dan yang utama sebelum lagi lain-lain sekolah.

    “Pengaruh mereka cukup kuat untuk menentukan corak atau bentuk keperibadian anak-anak,” tegas Baginda sambil mengajak para ibu bapa untuk sama-sama menyedari hakikat ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda