Kapasiti jemaah umrah 100,000 sehari

KUALA LUMPUR, 1 OKT – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 bermula hari ini.

Bilangan jemaah solat fardhu turut dinaikkan kepada 60,000 orang.

Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi paada awal September lepas mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Oktober 2020.

Selain itu, kementerian turut mendedahkan lebih daripada 12,000 visa telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.

Sementara itu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah. – Bernama