Kapasiti kemudahan sukan tertutup dan luar ditingkatkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini mengumumkan tahap ketiga pelan de-escalation bagi kemudahan-kemudahan sukan tertutup dan sukan luar serta pusat kecergasan dan gim yang akan bermula pada 6 Julai ini, dengan syarat-syarat dan garis panduan dikemaskinikan.

Selepas tahap kedua pelan de-escalation diumumkan pada 13 Jun lalu, tahap ketiga akan menyaksikan kapasiti bagi sukan-sukan luar, sukan tertutup, padang golf, pusat kecergasan, gim, boling ditingkatkan, manakala beberapa sukan-sukan lain juga dibenarkan.

Berita baik bagi peminat sukan itu diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, tertakluk kepada ruang pusat dan fasiliti kemudahan sukan atau pusat kecergasan, kapasiti akan ditingkatkan kepada 90 peratus kepada ahli berdaftar dan tidak berdaftar. Penggunaan pula akan ditingkatkan kepada maksimum dua jam seorang setiap hari, dengan kebenaran bagi penggunaan bilik lokar dan tempat mandi.

Sukan-sukan beregu akan dibenarkan berbanding hanya sukan perseorangan sebelum ini. Begitu juga sukan kontak dan non-contact artistic sports juga dibenarkan bagi sesi latihan sahaja.

“Walau bagaimanapun, latihan sparring masih tidak dibenarkan, manakala sukan berpasukan hanya akan dihadkan kepada lima orang sahaja dalam satu pasukan khusus bagi program latihan sahaja,” tambah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pertukaran individu antara kumpulan, aktiviti melibatkan kontak fizikal dan perkongsian peralatan serta kelengkapan masih tidak dibenarkan, manakala pusat boling ditingkatkan kepada dua pemain bagi satu lane dalam satu masa. Sukan boling juga ditingkatkan kepada maksimum dua jam seorang setiap satu masa dengan penggunaan house ball dan house shoe dibenarkan.

Bagi padang golf, garis panduan sebelum ini dikekalkan kecuali beberapa perubahan iaitu dibukakan kepada ahli berdaftar dan tidak berdaftar, bilik lokar dan tempat mandi dibenarkan.

Setiap flight dihadkan kepada empat pemain sahaja dan kenderaan bugi dikekalkan hanya bagi menampung seorang pengguna pada satu masa.

Pusat boling dibenarkan kepada dua pemain bagi satu lane dalam satu masa. Sukan boling juga ditingkatkan kepada maksimum dua jam seorang setiap satu masa dengan penggunaan house ball dan house shoe dibenarkan.