Kapasiti kolam renang ditingkatkan kepada 80 peratus

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengumumkan bahawa perlaksanaan pelan de-escalation bagi kemudahan kolam renang telah ditingkatkan daripada tahap dua ke tahap tiga iaitu ditingkatkan daripada 60 peratus kepada 80 peratus kapasiti dalam satu masa tertakluk kepada ruang kolam renang terbabit.

Selain daripada itu, penggunaan dibukakan kepada semua peringkat umur dan kolam-kolam renang kini akan dibukakan setiap hari tetapi dihadkan kepada 2 jam sehari bagi setiap individu. Manakala, kolam-kolam renang di bawah kawalan KKBS akan dibukakan mulai jam 8 pagi hingga 6 petang dan ditutup jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang kecuali pada hari Jumaat, ia akan ditutup pada jam 11:30 pagi hingga jam 2 petang. Manakala, hari-hari operasi bagi kolam-kolam renang lain adalah tertakluk kepada pemilik masing-masing.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Sidang Media Situasi Terkini COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Sementara itu, pelan de-escalation tahap keempat (operational readiness level 4) bagi gimnasium dan pusat kesihatan termasuk kemudahan sukan tertutup dan sukan luar dan padang golf kecuali sukan berpasukan dan perlaksanaan pelan de-escalation tahap ketiga (operational readiness level 3) bagi kolam renang adalah dikekalkan.

Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa perkembangan tahap de-escalation bagi pusat-pusat sukan tidak mempunyai sebarang perubahan sepertimana yang dimaklumkan semasa sidang media pada 22 Julai lalu, kecuali pengemaskinian garis panduan bagi sukan berpasukan, iaitu peningkatan daripada 10 ke 15 orang dalam satu kumpulan bagi menjalani program latihan sahaja. Manakala garis panduan lain adalah sama seperti sebelumnya.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menambah bahawa menganjurkan aktiviti sukan atau sebarang pertandingan adalah masih belum dibenarkan.

Antara aspek yang turut disentuh semasa sesi sidang media tersebut ialah statistik keramaian pengunjung yang telah mengunjungi pusat-pusat sukan di seluruh negara termasuk gimnasium dan pusat kesihatan, kemudahan sukan, padang golf, dewan boling dan kolam renang. Sejak 16 Mei lalu seramai 289,096 pengunjung telah mengunjungi pusat-pusat sukan.

Kemudahan kolam renang telah ditingkatkan daripada tahap dua ke tahap tiga dengan kapasiti kini dibolehkan sehingga 80 peratus dalam satu masa tertakluk kepada ruang kolam renang terbabit.